Kerajaan Yaman sudah ditubuhkan dalam satu bentuk baharu, selepas rundingan dikelolakan Arab Saudi kelihatan sudah menampakkan hasil.
Sepanjang Ramadan, gencatan senjata pada satu tahap tercapai, walaupun ada berlaku pertempuran di Marib yang terus direbut Houthi dan kerajaan.
Selepas dua minggu penubuhan kerajaan baharu ini dalam bentuk satu majlis gabungan pemimpin-pemimpin tempatan, masih ada isu besar yang masih menuntut jawapan.
Semua persoalan ini melibatkan janji pelaksanaan tugas majlis sebagai kerajaan baharu, dan pertanggungjawaban sebagai pemerintah sebuah negara yang bebas.
1. Yaman bersatu sebagai persekutuan?
Cadangan Yaman sebagai persekutuan pernah dibawa sebelum ini, sebagai satu langkah untuk menyelamatkan negara ini daripada pecah kepada Yaman Selatan dan Utara.
Cadangan ini bertujuan memberikan pemimpin dan kumpulan berpengaruh di kawasan masing-masing ruang kuasa mereka. Melalui cara ini, Yaman masih sebuah republik bersatu, dengan wilayah di dalamnya dengan kuasa terhad masing-masing.
Pembahagian melalui majlis kepimpinan baharu ini boleh membawa kepada kaedah perkongsian kuasa seperti ini. Boleh dikatakan semua pemimpin berasa setara kedudukan mereka berdasarkan struktur majlis.
2. Di mana pemimpin Yaman?
Satu isu besar dalam politik dan pentadbiran Yaman ialah keberadaan pemimpin-pemimpin Yaman di negara mereka sendiri. Umumnya pemimpin-pemimpin Houthi dan pemisah Selatan antara yang paling tetap di dalam Yaman.
Di pihak kerajaan, sejak kerajaan dijatuhkan, bekas Presiden Abdrabouh Mansour Hadi berlindung di Arab Saudi dan terus kekal di sana. Pemimpin-pemimpin besar lain juga ramai berada di Arab Saudi. Perjanjian damai yang menuntut mereka kembali dan duduk di Aden, pusat kerajaan sementara juga tidak dipenuhi.
Kepulangan pemimpin ke Yaman dan kekal tinggal di Yaman boleh memberi keyakinan dan keazaman kepada rakyat Yaman dan membantu menggerakkan lagi negara ke depan, dengan usaha penamatan konflik dan pemulihan.
3. Pengaruh kuasa asing
Perletakan jawatan Abdrabouh Mansour Hadi dan pengumuman penubuhan Majlis Kepimpinan Presiden ini dibuat di Arab Saudi, dengan penglibatan besar Riyadh dan Abu Dhabi. Satu sasaran dalam membentuk kerjasama ini pula ialah Iran, yang merupakan rakan kepada Houthi.
Houthi tidak menunjukkan sikap positif terhadap aturan ini, dan menyedari ia menjadi sasaran pihak negara-negara Arab yang kuat mengaitkannya dengan Iran.
Satu isu besar yang perlu diberi perhatian ialah aturan ini masih terlalu bersifat pembahagian kuasa kalangan elit, dan tidak melibatkan suara rakyat teramai.
4. Pemulihan dan pembangunan semula Yaman
Satu yang ditunggu-tunggu rakyat ialah pelaksanaan tugas sebuah kerajaan, selepas tujuh tahun dilanda perang, yang menyusuli konflik dalaman dan campur tangan luar sejak sekurang-kurangnya 2009.
Perkara paling asas dituntut rakyat sekarang ini ialah pelaksanaan tugas paling asas sebuah kerajaan; mentadbir dan membayar gaji kakitangan kerajaan. Mereka juga menuntut keperluan asas seperti air dan elektrik dapat dibekalkan sebaiknya.
Dari satu sudut, sekurang-kurangnya penubuhan pemerintahan baharu ini sudah menunjukkan kestabilan dalam politik Yaman, ditambah dengan kejayaan mencapai gencatan senjata sepanjang Ramadan dan sebulan lagi selepas itu. Peluang ini perlu dimanfaatkan segera sebelum tercetus sebarang hal yang mengganggu dan merumitkan lagi keadaan.