Kenapa perlu buat korban di Yaman?

Kenapa perlu buat korban di Yaman

Hari Raya Aidiladha akan tiba tidak lama lagi, disambut dengan mengerjakan ibadah korban di seluruh dunia.

Satu masa dulu, ibadah korban hanya dikerjakan di tempat asal di negara kita, sama ada di kediaman sendiri atau kampung halaman.

Dengan peningkatan aktiviti bantuan dan kumpulan bukan kerajaan di seluruh dunia Islam, aktiviti korban semakin meriah diadakan juga di negara-negara lain.

Hal ini menerima pelbagai reaksi daripada sebahagian umat Islam, ada yang meraikan dan menggalakkan dan ada juga yang mengkritik.

Satu masa, korban diadakan dengan terhad, seperti di Kemboja di kawasan ramai umat Islam.

Paling banyak diadakan di Kemboja, yang dikatakan mempunyai populasi Muslim yang besar dan sebahagian besar tidak berkemampuan untuk menikmati daging pada masa biasa.

Lama kelamaan, aktiviti ini dikritik kerana didakwa terkait dengan pelbagai isu termasuk kegiatan mengambil untung berlebihan malah ada juga berlaku penipuan.

Korban di banyak negara lain juga dilakukan, termasuk di ceruk-ceruk Afrika sebelah sub-Sahara.

Laporan dan dakwaan tentang penipuan dan isu berkaitan keutamaan mula banyak muncul ekoran perkembangan ini.

Ibadah korban mula menjadi aktiviti penting atau utama pelbagai pertubuhan bantuan Muslim.

Debat tentang keutamaan di mana ibadah korban lebih perlu dilaksanakan mula dimunculkan dalam perbincangan hal ini.

Dari sudut positif, ibadah korban menerima perbincangan dan penilaian yang lebih mendalam, dan bukan sekadar ibadah yang dilakukan dengan mudah mengikut kemampuan.

Walau bagaimanapun, isunya bukan sekadar sama ada boleh atau tidak, tetapi melibatkan keutamaan dan keperluan.

Ini bermakna tidak semestinya tempat yang jauh, yang benar-benar memerlukan bantuan tidak wajar menjadi lokasi ibadah korban dari luar.

Yaman ialah salah satu tempat dalam dunia Islam yang masih memerlukan bantuan dan ibadah korban.

Ini disebabkan perang yang berpanjangan yang telah menjejaskan ekonomi tempatan, termasuk pendapatan yang merosot, disertai dengan peningkatan keperluan untuk penternakan termasuk makanan haiwan.

Akibat kesan perang, ibadah korban di Yaman terjejas disebabkan peningkatan harga kambing terutamanya.

Pada tahun lalu, dilaporkan harga seekor kambing (biri-biri atau kambing) ialah sekitar 170,000 hingga 200,000 riyal (170 hingga 200 dolar AS).

Harga ini diluar kemampuan orang kebanyakan yang masih terdedah kepada kesan jangka panjang perang.

Penternak juga berdepan masalah untuk memasarkan dan mengangkut ternakan ke luar kawasan akibat keadaan yang kurang selamat.

Realiti ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha di Yaman.

Keadaan sukar ini telah mendorong pihak luar untuk menghulur bantuan, antaranya penghantaran daging korban ke Yaman yang pernah dilakukan oleh pihak dari Emiriyah Arab Bersatu.

Keadaan mungkin lebih baik pada tahun ini, selepas dua tahun gencatan senjata berlangsung.

Namun, masalah pendapatan yang rendah masih menjadi faktor besar.

Di sinilah peranan ibadah korban dari luar dapat membantu, bukan sahaja mendatangkan lebih banyak haiwan untuk dikorban dan diagih kepada yang memerlukan.

Pada masa yang sama, korban di Yaman juga membantu ekonomi melibatkan penternakan ini pada masa kritikal Aidiladha ini.

Leave a comment