Kempen Prihatin Yaman Perlu Ditingkatkan

Dunia Islam tidak pernah sunyi daripada isu-isu politik dan kemanusiaan yang menarik minat dan emosi, tidak kira umat Islam sendiri mahupun orang bukan Islam.

Kisah dunia Islam hakikatnya menduduki tangga tertinggi dalam cerita kemanusiaan, kerana melibatkan nyawa beribu malah berjuta nyawa.

Memang secara tabii, hal nyawa dan survival mesti diletakkan di tempat tertinggi, selari dengan maqasid syariah paling utama yakni memelihara nyawa.

Naluri manusia kebanyakan juga mudah tersentuh dengan cerita kemanusiaan, atau bencana yang meragut nyawa dan harta benda.

Ditambah dengan sentimen kebersamaan sebagai umat Islam, kisah yang menepati ciri ini pasti akan menarik minat ramai.

Kisah Yaman menenuhi semua ciri ini; perang, kematian, tragedi kemanusiaan, dan malah melibatkan sebuah negara yang panjang sejarahnya dan banyak disebut dalam sejarah Islam dan hadis.

Walau bagaimanapun, faktor pendedahan oleh media, cerita yang mudah difahami, dan juga populariti sesuatu kisah itu juga menjadi penentu.

Hal ini sebenarnya sudah beberapa kali dikemukakan, tetapi belum cukup diberikan layanan arus perdana dan diletakkan sebagai satu agenda penting yang mesti diberi perhatian segera.

Umat Islam mudah dikejutkan dan digerakkan oleh peristiwa di Palestin, seperti serangan ke atas Gaza, dan keganasan ke atas Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa.

Keprihatinan dan perhatian ini walau bagaimanapun perlu diakui bersifat agak bermusim dan kekuatan sentimen juga perlu didorong peristiwa tertentu.

Hakikatnya, usaha perjuangan Palestin termasuk membela dan mengambil semula Baitul Maqdis perlu berjalan secara agresif sepanjang masa, kerana kekejaman Zionis tidak berhenti dan mereka makin lama makin kukuh penguasaan terhadap Baitul Maqdis dan seluruh Palestin.

Secara keseluruhannya, seluruh perjuangan umat Islam perlu digerakkan sepanjang masa, sebagai sebahagian daripada senarai utama hal ehwal umat termasuk pejuangan politik umat Islam di dalam negara.

Umat Islam perlu lebih waras dan tidak mudah dipengaruhi oleh rekayasa media, yang boleh mengakibatkan sentimen yang mengaburi isu sebenar.

Umat Islam telah beberapa kali dikejut dan dipengaruhi sentimen mereka – yang akhirnya terbukti bermusim – dalam beberapa isu seperti isu Syria sejak 2011 dan Uyghur di China.

Ini bukan bermakna isu-isu tersebut palsu dan tidak perlu diberi perhatian, tetapi umat Islam perlu membina sikap sendiri dan istiqamah, tanpa perlu jadi terlalu mudah dipengaruhi mainan media dan kuasa berkepentingan.

Dengan tasawur yang benar, umat Islam sewajarnya dapat melihat gambaran besar politik perjuangan umat seluruh dunia, memahami dengan jelas isu-isu berkaitan agar tidak mudah tertipu dengan permainan kuasa besar dan percaturan kepentingan negara-negara Islam sendiri yang membakar sentimen untuk mengeksploit keprihatinan umat.

Leave a comment