Keluarga Mangsa Serangan Dron di Yaman Fail Petisyen Tuntut Kerajaan AS Bertanggungjawab

Kerajaan Amerika Syarikat berdepan tuntutan petisyen daripada keluarga korban serangan dron di Yaman, mendesaknya bertanggungjawab dan mengambil langkah supaya serangan membunuh orang awam ini dihentikan.

Dua keluarga dari Yaman itu memfailkan petisyen terhadap kerajaan AS berhubung pembunuhan “tidak berdasarkan undang-undang” 34 ahli keluarga mereka, termasuk sembilan orang kanak-kanak, dalam operasi ketenteraan antara tahun 2013 hingga 2018.

Tempoh ini meliputi pentadbiran bekas Presiden Barack Obama dan Donald Trump, tempoh yang menyaksikan penggunaan dron sebagai senjata dikendalikan agensi perisikan meningkat dengan mendadak.

Kumpulan hak asasi manusia Reprieve menyerahkan petisyen kepada Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Antara Amerika bagi pihak keluarga terbabit pada Selasa lalu.

Menurut kumpulan ini, keluarga terbabit mengalami kehilangan nyawa dan harta yang dahsyat dalam enam serangan dron dan operasi khas pasukan tentera AS.

Sejumlah 34 yang terbunuh daripada itu ialah anggota keluarga al-Ameri dan al-Taisy, yang menuntut jawatankuasa itu mendesak kerajaan AS mengambil labgkah segera mengelak daripada serangan seperti ini berulang.

Tindakan ini walau bagaimanapun tidak memberi kesan besar kepada kerajaan AS dan dasarnya, tetapi mampu menyampaikan mesej bahawa ada rakyat Yaman yang terlibat bersedia mengambil tindakan.

Antara lain, petisyen itu menyatakan “tujuh serangan yang dimaksudkan itu telah menyebabkan pembunuhan tidak menurut lunas undang-undang sekurang-kurangnya 48 orang, termasuk 17 orang kanak-kanak, dan kecederaan serius sekurang-kurangnya tujuh yang lain, selain kemusnahan harta benda dan peluang sara hidup.”

Serangan pertama, yang berlaku pada Disember 2013 di bawah pentadbiran Obama, menyasarkan satu konvoi majlis perkahwinan, membunuh 12 orang termasuk tujuh ahli keluarga al-Ameri dan lima anggota keluarga al-Taisy, menurut dokumen itu.

Serangan dron terhadap konvoi perkahwinan itu ialah antara serangan mengorbankan orang awam paling mengejutkan sepanjang operasi dron di Yaman di bawah Presiden Obama.

Di bawah Obama, serangan dron ditingkatkan di Afghanistan, Yaman, dan Somalia, dengan alasan memerangi kumpulan pengganas.

Pada Ogos 2018, satu serangan oleh pasukan pakatan diketuai Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu mengenai sebuah bas sekolah, mengorbankan 40 orang kanak-kanak, dan mencederakan puluhan yang lain.

Leave a comment