Kebangkitan Arab, Kebangkitan LGBT

egypt-lgbt-crackdown.jpg__1500x670_q85_ALIAS-hero_image_crop_subsampling-2

Kebangkitan yang digelar kebangkitan rakyat yang mula rancak di dunia Arab pada 2011 dulu bukan semata-mata protes terhadap pemimpin diktator.

Kebangkitan besar-besaran itu juga memberi peluang untuk gerakan liberal seluruh dunia Arab menonjolkan diri dan membina serta mengukuhkan pengaruh.

Di Mesir misalnya, gerakan liberal ialah antara yang paling ke hadapan menentang rejim Hosni Mubarak.

Malah, gerakan liberal juga diwakili gerakan politik dan parti liberal dan pasca-Islamis.

Seorang tokoh politik liberal yang paling dikenali di Mesir ialah Ayman Nour, yang menubuhkan parti al-Ghad.

Seorang yang lebih dikenali dan sentiasa menjadi rujukan Barat pula ialah Mona Eltahawy, wanita liberal yang agresif memperjuangkan nilai-nilai liberal dan sudah tentu, mesra-LGBT.

Sepanjang kebangkitan terutama pada 2011, wanita tokoh liberal ini muncul hampir setiap hari sebagai sumber media Barat.

Di negara-negara lain, LGBT dan gerakan liberal tidak muncul dengan terlalu terbuka seperti di Mesir.

Walau bagaimanapun, suasana yang cenderung kepada keterbukaan, dan disokong pula oleh Barat, bermakna pengaruh liberal tetap ada dan mencari ruang untuk menguatkan posisi.

Di Yaman, negara yang boleh dikatakan paling konservatif di dunia Arab, ideologi ini juga wujud dan mengambil kesempatan daripada kebangkitan untuk menunjukkan wajahnya.

Seorang pelajar universiti di Sanaa, Alaa Jarban, muncul sebagai salah seorang aktivis dan pemimpin protes semasa kebangkitan menentang kerajaan berlangsung pada 2011.

Dia terus tidak kembali ke Yaman, dan tinggal di Kanada, menjadi ahli diaspora Yaman yang liberal di Barat.

Dia sudah menanamkan kesedaran tentang kewujudan LGBT di Yaman, dan memberi semangat untuk diikuti oleh yang lain.

Seorang lagi yang mendapat perhatian Barat ialah Yahyia al-Zandani, yang mengaku sebagai “transgender lelaki” dan mendakwa keluarganya mahu dia menjadi wanita.

Yahyia melarikan diri dari Yaman pada 2015, menuju ke Hargesia, Somali di dalam wilayah Somaliland.

Dia kembali pada 2018 tetapi kemudian melarikan diri semula pada 2020, dengan bantuan komuniti LGBT yang membantunya dengan sokongan kewangan dan mendapatkan pasport.

Kes ini menjadi satu lagi rujukan untuk menarik perhatian kepada komuniti LGBT di Yaman.

Ini membolehkan mereka mendapatkan bantuan luar terutama dari Barat, dan menambahkan lagi cerita perjuangan LGBT di negara Islam.

Isu LGBT ini tidak pernah terpisah daripada politik, dan sentiasa menjadi salah satu agenda diperjuangkan gerakan politik liberal.

Ideologi dan gaya hidup ini menjadi lebih jelas di media, dan secara terbuka disokong kuasa dunia terutama Amerika Syarikat.

Bekas Presiden AS Barak Obama sejak 2009 semakin menguatkan dasar pro-LGBT negara itu.

Pada 2011, tahun “Arab spring” sedang rancak termasuk di Yaman, Obama mengeluarkan arahan kepada semua pegawai AS di seluruh dunia supaya menyokong LGBT dan menggunakan bantuan asing untuk mempromosi hak gay.

Sekarang ini, agenda LGBT sudah menjadi sebahagian agenda utama dunia dalam sistem PBB sendiri, selain sokongan spesifik daripada negara-negara maju.

Seluruh dunia termasuk dunia Islam sentiasa digalak dan didesak supaya menerima LGBT sebagai satu norma dan tidak dijadikan satu jenayah seperti yang ditetapkan dalam syariah.

Negara yang konservatif beragama Islam seperti Yaman, seperti disaksikan sejak 2011 lagi, tidak terkecuali daripada gelombang ini.

Leave a comment