Kapal Kontena di Hudaydah Petanda Positif Rundingan Damai

WhatsApp Image 2023-02-28 at 12.30.38 AM

Kehadiran kapal kontena komersil di pelabuhan Hudaydah baru-baru ini dilihat menunjukkan satu tanda positif ke arah kedamaian di Yaman.

Sebuah kapal kontena membawa barangan komersil berlabuh di Hudaydah buat kali pertama sejak 2016 pada Sabtu lalu.

Perkembangan ini mengiringi usaha rundingan yang sedang berjalan antara pihak terlibat konflik untuk mencapai perjanjian gencatan senjata secara rasmi.

Pihak bersaing di Yaman, terutama Houthi dan kerajaan diiktiraf PBB secara tidak rasmi meneruskan gencatan senjata tajaan PBB, yang sebenarnya sudah tamat pada Oktober lalu tetapi semua yang terlibat meneruskan dasar tidak berperang.

Barangan yang tiba di Hudaydah perlu diperiksa dan diluluskan oleh sebuah badan PBB, dengan alasan mengelakkan penyeludupan senjata ke Yaman.

Sejak tujuh tahun lalu, badan PBB, Mekanisme Pengesahan dan Pemeriksaan untuk Yaman (UNVIM) hanya meluluskan kapal membawa barangan tertentu seperti makanan, bahan bakar, dan minyak masak untuk berlabuh di pelabuhan-pelabuhan Yaman.

Langkah membenarkan kemasukan kapal komersil ini dilakukan untuk membina kepercayaan sambil menyokong rundingan yang sedang berjalan antara Arab Saudi dengan Houthi untuk meneruskan gencatan senjata secara rasmi.

Kapal komersil yang dibenarkan berlabuh membawa pelbagai barangan di Hudaydah membawa bendera pengenalan Ethiopia.

Hudaydah ialah pelabuhan di Laut Merah, yang berada di sebelah Barat Yaman, kawasan paling padat penduduk meliputi Sanaa dan Taiz.

Kawasan ini dikuasai oleh Houthi, dan syarikat yang terlibat dalam pengurusan dan pengendalian di pelabuhan Hudaydah ialah Red Sea Ports Corporation yang dimiliki Houthi.

Kemasukan barangan melalui Hudaydah membantu mengurangkan kos, kerana sebahagian besar barangan memasuki Yaman melalui pelabuhan Aden dikawal kerajaan di selatan.

Rundingan terus antara Arab Saudi dan Houthi sedang berlangsung dengan perantaraan Oman, dengan matlamat mencapai gencatan senjata secara formal, sekaligus melancarkan rundingan politik yang lebih luas.

Leave a comment