Gambar di atas ialah satu perarakan Houthi yang diadakan baru-baru ini, melibatkan kanak-kanak dengan mesej yang dikaitkan dengan perang.
Houthi sudah lama dituduh bertanggungjawab menggunakan tentera kanak-kanak dalam operasi ketenteraan mereka.
Mereka didakwa secara aktif merekrut kanak-kanak untuk berperang, menggunakan hujah-hujah agama dan perjuangan untuk menarik kanak-kanak dan keluarga mereka.
Menggunakan kanak-kanak untuk berperang ini menjadi realiti di nedan perang seluruh dunia, dari negara-negara di Afrika hingga ke Myanmar.
Hal ini menjadi satu topik penting menjadi perhatian kumpulan hak asasi manusia, terutama pejuang hak kanak-kanak.
Kebelakangan ini, Houthi menjadi perhatian kerana didakwa menggunakan ramai kanak-kanak sebagai sebahagian jentera perang.
Walau bagaimanapun, tanpa menyertai perang pun, kanak-kanak tetap menjadi mangsa.
Kebuluran, kekurangan dan kesukaran mendapat makanan, kemudahan asas seperti air yang terjejas, semua memburukkan keadaan kepada kanak-kanak.
Yang paling utama selain keperluan asas kehidupan ialah kehilangan peluang pendidikan, yang merupakan salah satu hak asasi kanak-kanak.
Di negara berperang seperti Yaman, kanak-kanak bukan sahaja kehilangan peluang ke sekolah, dan terpaksa membantu keluarga untuk meneruskan hidup.
Faktor kanak-kanak ini malangnya antara isu yang paling kurang diberi perhatian termasuk dalam kalangan umat Islam bila membicarakan isu seperti ini yang melibatkan konflik.
Satu contoh jelas ialah perang di Syria yang bermula dengan krisis dalaman pada 2012.
Rata-rata umat Islam di Malaysia melihat isu Syria dari sudut pertembungan mazhab. Ramai menerima naratif kekejaman Syiah sepenuhnya, dan mahu kerajaan Syria dihukum.
Pada masa itu, umat Islam hanya melihat masalah di Syria sebagai masalah kejahatan Syiah (yang ditafsir secara mudah) yang perlu dibanteras.
Kemudian perang berlanjutan lama, dan perhatian umat Islam seperti biasa sudah beralih dari Syria.
Selepas lebih 10 tahun, beratus ribu malah berjuta kanak-kanak sudah terjejas pendidikan mereka akibat perang.
Umat Islam yang menyokong perang dulu, tidak lagi menyebut masalah Syria, malah sudah tidak sibuk dengan kempen menderma untuk Syria.
Hal yang sama juga di Yaman. Pada 2015, umat Islam di Malaysia juga ramai berpegang kepada naratif mazhab, dan melihat masalah Yaman ialah perluasan kuasa Syiah/Iran yang mesti disekat.
Pada masa itu, usaha Arab Saudi memulakan perang di negara itu tidak dianggap sebagai satu tindakan yang bermasalah, dan membuka pintu kepada masalah lain seperti hak kanak-kanak yang terjejas.
Kebajikan kanak-kanak dan isu jangka panjang inilah yang tenggelam dan tidak mampu menarik perhatian seperti pada mula konflik bermula, pada masa minat dan semangat ramai membara.
Pada masa itu, kempen derma boleh mengumpul jumlah yang besar dengan pantas, didorong semangat pada masa itu.
Lama selepas itu, keadaan kanak-kanak di kawasan perang ini terus dilupakan, termasuk oleh mereka yang dulu berkobar-kobar menyokong perang.
Hal jangka panjang ini mesti diberi perhatian semula, pada masa kanak-kanak ini memerlukan bantuan.