Kaitan Perang Rusia-Ukraine Dengan Yaman

IMG-20220301-WA0069

Walaupun agak jauh dari segi geografi, Yaman tidak asing dengan Rusia dan perkembangan berkaitan Rusia.

Dari segi sejarah, Yaman Selatan ialah satu-satunya negara sosialis di dunia Arab sehingga 1990, apabila Kesatuan Soviet runtuh dan komunisme seduia berundur.

Pada masa kini, Yaman yang mahu merdeka sebagai Yaman Selatan pimpinan Majlis Peralihan Selatan (STC) ialah rakan baik Rusia.

Hubungan luar dengan Rusia ialah satu daripada dua hubungan luar paling kukuh yang mengikat penguasa selatan Yaman.

Satu lagi hubungan terbaiknya ialah Emiriyah Arab Bersatu, yang juga berkerjasama rapat dengan Rusia di Yaman.

Hubungan penting ini dijelaskan melalui satu usaha meluluskan resolusi ke arah menghukum Rusia di Majlis Keselamatan PBB minggu lalu.

Resolusi ini akhirnya diveto oleh Rusia, salah sebuah kuasa tetap majlis ini, tetapi semasa diundi, Emiriyah bertindak berkecuali – bersama dua negara lain – yang menunjukkan Abu Dhabi menjaga hubungannya dengan Moscow.

Ini bermakna hubungan Rusia-Emiriyah-Yaman ini penting dan akan terus dipelihara oleh semua yang terlibat.

Rusia yang mempunyai hubungan baik dengan beberapa negara di Laut Merah mahu posisinya ini diperkukuhkan, dan Yaman ialah satu titik paling penting.

Tidak menghairankan jika Rusia mahu kembali ke Yaman dan menubuhkan sebuah pengkalan tentera di sini untuk memastikan kuasanya di Asia Barat, terutama Laut Merah dan kawasan sekitar yang termasuk Tanduk Afrika dan Lautan Hindi.

STC bukan kerajaan utama Yaman, dan Yaman Selatan belum lagi wujud secara rasmi, tetapi sudah cukup untuk kumpulan ini mengukuhkan kedudukan di satu bahagian Yaman, dan pihak luar seperti Rusia boleh mengambil manfaat daripadanya.

Dalam keadaan perang Rusia dengan Ukraine ini, yang menyaksikan Rusia dihukum dan dipinggirkan oleh dunia, Yaman juga akan terkena tempiasnya.

Dalam hal diplomasi ini, keadaan di Sanaa juga tidak membantu kesan hubungan rapat Houthi dengan Iran.

Iran juga sebuah kuasa yang dipinggir dan dikenakan pelbagai sekatan oleh kuasa-kuasa Barat terutama AS.

Maka suasana hari ini memerlukan kumpulan-kumpulan berkuasa di Yaman, melibatkan Houthi, kerajaan yang masih diiktiraf, dan pemisah Selatan mempelbagaikan hubungan luar ini dan bertindak lebih bijak dan strategik.

Leave a comment