Parti Islah, kumpulan politik Islamis yang dilihat sealiran dengan Ikhwan Muslimin dari Mesir, ialah satu kumpulan politik yang berpengaruh di Yaman.
Walau bagaimanapun, pengaruhnya tidak menyamai laporan dan tumpuan padanya dalam media antarabangsa, yang lebih menumpukan pada Houthi yang disokong Iran.
Islah sebenarnya menghimpunkan beberapa aliran utama di Yaman, melibatkan kabilah berpengaruh al-Ahmar dan kelompok tokoh Salafi berpengaruh Abdul Majid al-Zindani.
Secara tradisinya, Islah mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan pimpinan Ali Abdullah Saleh, hingga perkembangan pada 2011 mendorongnya mengubah haluan dan menentang rejim lama itu.
Perkembangan pada 2011 juga menyaksikan satu perubahan dalam hubungan dengan Arab Saudi yang baik selama ini.
Kebangkitan menentang Ali Abdullah, yang selari dengan agenda serantau Qatar pada masa itu, menyebabkan Islah mengambil pendirian lebih menyebelahi Qatar, menolak kerajaan yang semakin tidak popular pada masa itu.
Pada masa itu, Doha menyokong kebangkitan di seluruh dunia Arab dari Mesir hingga ke kawasan Teluk sendiri, sebagai satu peluang untuk meluaskan pengaruh melalui kerajaan-kerajaan baharu, yang ditunjangi kumpulan beraliran Ikhwan.
Pada masa itu juga, sokongan Qatar kepada Islah meningkat, dengan harapan Islah akan berkuasa dan menjalin hubungan baik dengan Doha.
Arab Saudi umumnya berhubungan baik dengan Islah, atau tokoh-tokoh penting dalam Islah.
Sejak 1990-an, Saudi mengekalkan hubungan baik dengan pengasas parti Shaikh Abdullah bin Husayn al-Ahmar.
Perkembangan melibatkan Qatar itu bagaimanapun tidak memutuskan hubungan baik Riyadh dengan Islah, kerana banyak kepentingan bersama masih kekal di Yaman.
Islah dan tokohnya seperti al-Zindani disokong kuat oleh Saudi sepanjang era Perang Dingin untuk melawan pengaruh pihak berhaluan Marxist.
Walaupun Islah terlibat menjatuhkan Ali Abdullah yang disokong Riyadh pada 2011, agenda menentang Houthi masih dikongsi oleh kedua-dua pihak Islah dan Saudi.
Ini kerana kejatuhan kerajaan Yaman pada masa itu juga membuka jalan kepada Houthi untuk meluaskan pengaruh, dan ini amat dibimbangi Riyadh.
Sejak 2009 terutamanya, isu “perang proksi” antara Iran dengan Saudi menjadi satu isu panas, dan diperbesarkan sesetengah pihak termasuk media luar.
Walaupun sokongan Iran diperolehi Houthi pada masa itu boleh dipersoalkan, gambaran mudah perang proksi Iran dengan Saudi mudah diterima malah diperkukuhkan pada masa itu.
Maka Islah masih dapat berperanan dalam usaha serantau Riyadh untuk menangani pengaruh Iran melalui Houthi.
Malah, pada masa Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu memulakan operasi ketenteraan di Yaman pada 2015, Islah menyatakan sokongan pada usaha diketuai Saudi ini.
Islah bagaimanapun tidak mempunyai hubungan baik dengan Emiriyah, yang satu dasar utamanya ialah memerangi kumpulan-kumpulan beraliran Ikhwan Muslimin di seluruh dunia Arab secara politik.
Sikap Abu Dhabi terhadap Islah tidak berubah walaupun susulan pertemuan antara pemimpin Emiriyah dengan Islah pada 2017 yang diatur Putera Mahkota Saudi, Mohamed bin Salman.
Islah yang dianggap sebagai “Ikhwan Muslimin Yaman” juga dianggap sebagai kumpulan yang mesti ditolak.
Walaupun kedua-dua Riyadh dan Abu Dhabi bersama dalam tindakan ketenteraan terhadap Houthi di Yaman, masing-masing mempunyai bentuk hubungan berbeza dengan Islah.
Islah kini berdepan keadaan yang semakin sukar, antara mengekalkan dan meningkatkan hubungan dengan Arab Saudi yang semakin ditolak peranannya di Yaman, dengan membina lagi hubungan dengan Qatar.
Islah bukan lagi pengaruh yang kuat dalam kerajaan Yaman, yang telah disingkir dari Sanaa dan kini berpengkalan di Aden.
Pada masa sama, di Aden, kerajaan diiktiraf semakin ditekan oleh kumpulan pemisah Selatan diketuai Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong Emiriyah.
Kehilangan Sanaa dan satu bahagian besar wilayah sebelah barat bermakna pengaruh Houthi yang memusuhi Islah meningkat.
Pada masa yang sama, wilayah selatan yang dikuasai STC dan Emiriyah juga bermakna Islah semakin dipinggir.