Kerajaan baharu Yaman, ditubuhkan dalam bentuk majlis kepimpinan presiden, jelas mempunyai sisi pengaruh Arab Saudi – lokasi rundingan dan keputusan dicapai – dan Emiriyah Arab Bersatu, sebagai rakan rapat dan kuasa serantau yang turut berpengaruh besar ke atas Yaman.
Houthi yang disokong Iran ialah pihak yang berada di seberang lain kerjasama dan aturan baharu ini, terutama bila dilihat dari segi politiknya dan melibatkan kuasa serantau.
Sejak sebelum perjanjian lagi, aturan politiknya jelas meletakkan Houthi di satu sudut lain, dan sentiasa dikaitkan dengan kepentingan Iran, biasanya dengan berlebihan sebagai propaganda politik.
Kemasukan Saudi dan Emiriyah ke Yaman pada 2015 dulu pun, menggunakan alasan mengekang pengaruh Iran, yang dikatakan sudah mengukuh di Sanaa, menyusuli ibu negara Arab lain seperti Damascus, Baghdad.
Perkembangan serantau baharu ialah normalisasi hubungan dengan negara haram Israel, yang sudah dimeterai oleh Abu Dhabi, dan secara praktiknya, oleh Riyadh juga walaupun tanpa perjanjian rasmi.
Isu ini, sebagai isu utama yang menyatukan dunia Islam dari Afrika ke Asia Tenggara, sentiasa relevan dan berada dalam kedudukan tinggi perkiraan politik negara-negara Asia Barat termasuk Turki dan Iran.
Berdasarkan sejarah, Iran ialah kuasa serantau yang boleh dikatakan konsisten dalam perjuangan menentang Israel, memberi sokongan kepada kumpulan-kumpulan di Palestin (terutama Jihad Islami dan Hamas) dan Lubnan (Hizbullah).
Isu Palestin, di samping penguasaan politik negara yang berhubungan baik dengan Israel iaitu Saudi dan Emiriyah, boleh membentuk dasar dan pendekatan Houthi dan Iran secara jangka pendek dan panjang.
Pengaruh Emiriyah yang sudah menjalin hubungan rasmi dengan Zionis telah terlihat di Yaman, paling jelas melalui lawatan warga Israel ke pulau-pulau Socotra melalui visa dikeluarkan pihak Emiriyah.
Berdasarkan hubungan baik Abu Dhabi dengan Zionis ini, kemungkinan lain juga dilihat boleh berlaku, termasuk kerjasama melibatkan diplomasi dan politik antara rakan Emiriyah di Yaman dengan pihak Israel.
Pihak berkuasa di selatan pernah menyatakan kesediaan berhubungan dengan Israel, mengikuti jejak langkah penaung mereka Abu Dhabi.
Ini terus menerima respons keras Houthi, yang gerakan politiknya bernama Ansarullah membawa slogan yang dengan jelas menyebut “jahanam Israel.”
Houthi juga baru-baru ini menegaskan tidak akan terlibat dalam gelombang baharu dunia Arab yang menerima dan mengiktiraf negara haram Israel dan menjalin kerjasama.
Penentangan terhadap Israel sentiasa dapat digunakan untuk satu agenda perjuangan, walaupun dengan niat dan kepentingan yang boleh dipersoalkan.
Satu masa dulu, Saddam Hussein turut menjadi penaung perjuangan menentang Israel dengan menyokong kumpulan di Palestin.
Baghdad pada masa itu memberi bantuan kewangan, politik, dan secara terbuka dan berprofil tinggi, memberikan bantuan kewangan kepada keluarga pejuang yang meninggal dunia dalam perjuangan menentang Israel.
Rekod Iran masih kukuh dalam hal ini, dengan sokongan yang konsisten kepada Hamas dan Hizbullah, walaupun kerjasama ini sering dikaitkan dengan terorisme oleh Barat dan didakwa sekadar memenuhi agenda politik serantau Tehran.
Houthi dan Iran dapat memanfaatkan isu penentangan terhadap Israel ini dalam mencorakkan hubungannya dengan Saudi dan Emiriyah, dan sebagai satu naratif untuk mengekalkan dan mengukuhkan relevan mereka di Yaman dan dunia Arab/Islam.