Seorang pemimpin berpengaruh Yaman dari parti Islah, Hamid al-Ahmar mendakwa Iran dan Emiriyah Arab Bersatu mahu memecahkan Yaman kepada wilayah di bawah pengaruh masing-masing.
Iran dan Emiriyah didakwa melaksanakan rancangan ini melalui proksi masing-masing di Yaman.
Menurut ahli parlimen yang juga ahli perniagaan berpengaruh itu dalam wawancara dengan al-Jazeera, Iran mahu mewujudkan satu entiti yang akan mengikut kehendaknya, manakala Emiriyah mahu menguasai kawasan melalui proksi supaya dapat mengawal pelabuhan dan pulau-pulau.
Hamid mencadangkan penubuhan satu entiti bersatu seperti dicadangkan dalam dialog kebangsaan, dengan pentadbiran autonomi atau sistem persekutuan.
Sistem seperti ini memberikan kuasa kepada wilayah atau negeri tetapi dengan sebuah kerajaan persekutuan yang lebih tinggi.
Cadangan ini disampaikan bagi mengelak pemisahan oleh Houthi yang berpusat di Sanaa dan bahagian selatan yang dikuasai Majlis Peralihan Selatan (STC), sekutu kuat Abu Dhabi yang merupakan sebahagian Gerakan Selatan menuntut kemerdekaan.
Pada masa ini, kerajaan yang telah berpindah ke Aden berada dalam keadaan lemah berbanding Houthi di Sanaa dan kumpulan Selatan di Aden.
Menurut Hamid, Emiriyah sebenarnya tidak menarik keluar tenteranya di Yaman, dan kekal memberi sokongan kepada STC dan kumpulan-kumpulan lain.
Menurutnya lagi, Emiriyah melalui kedutaannya di Moscow menyusun lawatan pemimpin selatan ke Rusia untuk bertemu dengan Wagner Company, syarikat tentera persendirian yang terlibat dalam banyak medan perang seluruh dunia, dari Ukraine hingga ke Libya.
Tehran telah menunjukkan pengiktirafan ke atas kerajaan Houthi melalui pertukaran wakil diplomatik dan lawatan pemimpin Houthi bertemu pemimpin tertinggi Iran.
Abu Dhabi pula tidak menyembunyikan sokongan kepada pemisah Selatan, yang kini membayangi kuasa kerajaan yang sah tetapi kini berpengkalan di Aden.
Emiriyah mempunyai kepentingan terhadap pelabuhan-pelabuhan di Yaman, yang merupakan sebahagian daripada agenda besarnya menguasai rangkaian pelabuhan di sepanjang Laut Merah di sebelah Afrika dan Semenanjung Arab hingga ke Teluk Parsi.
Kenyataan Hamid, yang merupakan sebahagian keluarga berpengaruh al-Ahmar, walau bagaimanapun tidak menyebut sebuah lagi kuasa penting, Arab Saudi, yang memberi sokongan kepada kerajaan yang dianggotai beliau.
Pada masa yang sama, dua lagi kuasa serantau, Qatar dan Turki juga telah berperanan dan sentiasa menunggu peluang untuk kembali mengukuhkan kedudukan di Yaman.
Hakikatnya, selain Iran dan Emiriyah, Saudi turut mempunyai saham dalam perpecahan Yaman melalui sokongan kepada pihak yang sehaluan dengan Riyadh.
Pada masa kini, pihak yang mesra Saudi ialah kerajaan pimpinan Presiden Abdrabouh Mansour Hadi, yang dianggotai Hamid dan keluarga berpengaruh al-Ahmar, pengasas gerakan Islah.
Hamid merupakan anggota majlis syura Islah dan telah meninggalkan Yaman ekoran kekacauan bermula 2014.
Gerakan Islah sendiri terkait dengan pengaruh asing semasa kebangkitan massa bermula 2011, apabila gerakan ini menentang kerajaan Ali Abdullah Saleh dengan menerima sokongan Qatar dan Turki.
Kemaraan Islah dengan sokongan negara pesaing Emiriyah dan Saudi ini menjadi satu sebab mendorong kerjasama sementara Emiriyah, Saudi, bekas presiden Ali dan gerakan Houthi pada 2014 hingga 2015.
Hamid sendiri mengambil bahagian aktif dalam usaha menjatuhkan kerajaan pada 2011. Beliau pernah bersuara mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletak jawatan dan meninggalkan Yaman.