Houthi Sabotaj Gencatan Senjata Yaman?

IMG-20220518-WA0034

Sejak awal gencatan senjata dan peralihan kerajaan sedia ada kepada sebuah majlis presiden, sudah jelas bahawa Houthi bukan sebahagian pihak yang selesa dengan perubahan ini.

Dari segi politiknya, amat jelas bahawa Riyadh dan Abu Dhabi berperanan utama membentuk dan juga menentukan hala tuju atau mempengaruhi perubahan ini.

Houthi tidak dilibatkan dan kepentingannya tidak diambil kira, sekurang-kurangnya tidak seperti kepentingan pihak lain.

Maka sejak awal, Houthi melihat perkembangan transisi dan gencatan senjata ini dengan kritis walaupun tidak menolak sepenuhnya perkara positif yang sedang berlaku.

Houthi sudah beberapa kali didakwa terlibat mencabul gencatan senjata apabila meneruskan usaha menguasai Marib.

Terbaru, menteri komunikasi Yaman, Moammar al-Eryani dilapor berkata Houthi masih tidak melaksanakan komitmen menamatkan sekatan ke atas Taiz.

Katanya, Houthi mensabotaj perjanjian damai yang menghasilkan gencatan senjata ini.

Taiz ialah sebuah lagi kawasan strategik yang dikuasai Houthi, dan dapat dilihat kepentingan Houthi untuk tidak melepaskan penguasaannya dengan membuka wilayah ini kepada pihak luar.

Taiz terletak di hujung Yaman, di bahagian berseberangan dengan hujung Tanduk Afrika, dipisahkan oleh laluan sempit Bab al-Mandab di Laut Merah.Ia dipisahkan dengan Aden oleh Lahij.

Kota ini ialah yang ketiga terbesar di Yaman, dan merupakan salah sebuah pusat kegiatan ekonomi negara ini.

Selain Marib yang menjadi tumpuan perebutan antara kerajaan Yaman dengan Houthi, Taiz ialah satu lagi lokasi strategik yang menyaksikan pertempuran sengit, walaupun kelebihan lebih memihak kepada Houthi.

Kedudukannya di pesisir Laut Merah dan tidak jauh dari Hudaydah menjadikannya lokasi ekonomi yang penting, menjelaskan kepentingannya kepada Houthi sehingga mendorong kepada tindakan terus menutup laluan ke Taiz.

Ini juga menjelaskan kenapa pihak kerajaan mahu Houthi segera menamatkan kepungan ke atas Taiz, dengan menjadikan perjanjian gencatan sebagai hujah.

Hakikatnya, semua pihak tidak dengan segera dan sepenuhnya mematuhi syarat-syarat gencatan senjata dan perjanjian damai sejak perang tercetus.

Perjanjian dicapai di Riyadh beberapa tahun lepas juga menyaksikan kesukaran dan pelbagai sekatan, paling utama peruntukan yang menetapkan pejabat kerajaan di Aden dibuka dan pemimpin-pemimpin kembali ke ibu negara sementara itu.

Pembukaan pelabuhan Hudaydah juga berlaku lewat kerana dijadikan senjata politik, sedangkan keperluan pintu masuk barangan bantuan itu amat kritikal.

Kedua-dua pihak mempunyai kepentingan politik yang tidak dapat dikompromi, yang sudah jelas sejak awal.

Houthi terutamanya akan terus ditekan dalam hal pematuhan terhadap gencatan senjata ini, dan sejak awal sudah diletakkan di kedudukan defensif dalam hal ini.

Kejayaan gencatan senjata ini dan fasa seterusnya ke arah perdamaian terletak bukan sahaja di bahu Houthi, tetapi juga pihak disokong Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu yang tidak bebas daripada perkiraan politik, dan tidak terkecuali daripada mensabotaj gencatan senjata ini.

Leave a comment