Pada masa rundingan damai sedang berlangsung dengan Arab Saudi, Houthi menunjukkan kekuatan ketenteraanya melalui satu perarakan tentera di Sanaa pada 21 September lalu.
Perarakan itu sebagai mengingati ulang tahun kesembilan kejayaan Houthi yang juga dikenali Ansarallah menawan ibu negara, Sanaa pada 2014.
Kumpulan yang semakin diiktiraf sebagai kerajaan yang sah di Sanaa itu menunjukkan kekuatan persenjataannya secara paling terbuka, dan terbesar pernah diadakan.
Antara senjata canggih dipamerkan termasuk peluru berpandu balistik yang dipercayai diperolehi dan dibangunkan hasil bantuan Iran.
Turut dipertontonkan ialah pesawat F-5, pesawat pejuang yang walaupun sudah lama, menunjukkan kemampuan kumpulan yang asalnya pemberontak ini untuk mewujudkan tentera udara.
Menteri pertahanan Houthi, Mohammed al-Atifi dalam ucapan semasa acara itu memberi amaran bahawa kuasa asing tidak dibenarkan berada di wilayah Yaman.
Houthi mempamerkan bukan sahaja kekuatan persenjataan, malah menampakkan asas ideologinya apabila turut membawa replika gergasi al-Quran.
Kumpulan ini menunjukkan identiti utamanya sebagai sebuah kumpulan Islam, dengan slogan anti-Amerika dan anti-Israel yang lantang.
Penentangannya sebelum ini terhadap kerajaan di Sanaa turut melibatkan hujah agama termasuk kerjasama rapat kerajaan pada masa itu dengan kuasa luar termasuk AS.