Houthi kelihatan menambahkan lagi penguasaannya apabila tentera yang disokong Emiriyah Arab Bersatu berundur dari bandar pelabuhan Hudaydah, membuka laluan untuk Houthi menguasai lokasi strategik di Laut Merah itu.
Minggu lalu, beberapa pasukan tentera kerajaan dan pakatan diketuai Emiriyah dan Saudi berundur dari beberapa lokasi termasuk Hudaydah, pintu masuk utama barangan termasuk bantuan kemanusiaan ke Yaman.
Hudaydah, pelabuhan utama Yaman di Laut Merah, ialah lokasi pertempuran beberapa kali, walaupun tidak berterusan antara Houthi dan pasukan disokong kuasa asing.
Sebagai pelabuhan di Laut Merah, Hudaydah termasuk dalam perancangan besar Emiriyah untuk menguasai pelabuhan dari Teluk Parsi hingga ke Laut Merah, di kedua-dua belah Semenanjung Arab dan Tanduk Afrika.
Houthi walau bagaimanapun tidak berdepan laluan mudah kerana masih wujud penentangan daripada pasukan lain disokong Emiriyah.
Pertempuran melibatkan Hudaydah meluaskan lagi kawasan pertempuran antara Houthi dengan pasukan penentangnya, pada masa sama pasukan bersenjata Selatan turut merebut Hudaydah daripada Houthi.
Kemaraan Houthi di Hudaydah ini berlaku pada masa kumpulan disokong Iran ini dilihat semakin hampir untuk menguasai keseluruhan Marib termasuk pusat bandar yang setakat ini masih bebas daripada pertempuran.
Penguasaan Hudaydah boleh dikatakan keperluan strategik terpenting selain Marib, kerana ia merupakan pelabuhan utama Yaman, serta sebahagian daripada keperluan utama bagi wilayah barat dan utara yang di bawah pentadbiran Houthi.
Penguasaan kedua-dua Marib dan Hudaydah sudah cukup untuk memenuhi keperluan bagi wilayah di bawah Houthi, walaupun tanpa Aden dan wilayah yang di bawah kumpulan pemisah Selatan.
Pasukan pro-kerajaan yang berundur dari Hudaydah memberi alasan perjanjian damai 2018 yang menetapkan syarat pengunduran itu, serta pemindahan pasukan ke lokasi lain yang lebih diperlukan.
Walau bagaimanapun, kemaraan Houthi di Hudaydah menimbulkan kebimbangan banyak pihak termasuk PBB, yang segera mengeluarkan kenyataan menggesa hal ini dibincangkan segera.
Sesetengah pihak mengecam tindakan PBB ini, yang didakwa selama ini sejak perjanjian 2018 dicapai tidak bersuara apabila Saudi dan Emiriyah mencabulnya dan tetap mengepung Hudaydah hingga kemasukan bantuan tersekat.