Tindakan Houthi menyerang wilayah Emiriyah Arab Bersatu telah berjaya menunjukkan kekuatan kumpulan yang kini berperanan sebagai kerajaan di Yaman.
Houthi telah meningkatkan ancaman kepada Abu Dhabi, daripada menyerang kapal milik negara itu di sekitar perairan Yaman kepada serangan terus di wilayah Emiriyah.
Selama ini, Emiriyah berada di luar kawasan perang, jauh dari jangkauan Houthi di Yaman.
Serangan yang tiba di wilayah Emiriyah telah membuka satu medan baharu peperangan ini, yang sebenarnya merupakan satu konflik yang banyak mempengaruhi suasana di dunia Arab pada masa ini.
Sebelum ini pihak yang berdepan serangan langsung Houthi ialah Arab Saudi, negara bersempadan dengan Yaman di utara.
Serangan terus ke atas Emiriyah menandakan Houthi sudah mengubah permainan di sini, dan Abu Dhabi tidak boleh lagi merasa selamat dari konflik yang melibatkan kepentingannya di selatan dunia Arab itu.
Hal ini memberi satu pengaruh tambahan kepada Houthi, apabila ia sudah dianggap mampu memberi kesan buruk kepada Emiriyah.
Tetapi pada masa yang sama, Houthi juga terpaksa berdepan tindak balas Abu Dhabi, yang juga mempunyai kedudukan dan pengaruh tersendiri di peringkat antarabangsa.
Emiriyah sudah menormalisasi hubungan dengan negara haram Israel, dan merupakan rakan baik kuasa besar Amerika Syarikat.
Abu Dhabi mampu mempengaruhi atau melobi negara seperti AS untuk menerima pandangannya dalam konflik di Yaman ini, bermakna ia mampu mempengaruhi Washington untuk bertindak terhadap Houthi.
Tidak lama selepas serangan Houthi ke Emiriyah, pihak pemerintah AS mula menimbangkan untuk menyenaraikan kumpulan itu sebagai pengganas, dan turut melibatkan sekali penaja atau penyokong Houthi.
Pihak yang memberi bantuan kepada Houthi, iaitu Iran, sememangnya sudah dijadikan sasaran semua pihak termasuk Emiriyah.
Tindakan Houthi menyerang Emiriyah, sama ada dengan restu atau tidak daripada Tehran, akan mengakibatkan Iran turut sama menanggung akibatnya.
Tindakan terhadap Houthi dan Iran inilah yang mendorong perang melibatkan kuasa luar di Yaman dimulakan.
Sebarang hukuman tambahan terhadap Houthi dan Iran hanyalah lanjutan daripada tindakan yang sudah sedia ada selama ini.
Houthi kini terpaksa berdepan satu bentuk tekanan baharu dalam usahanya mengekalkan dan mengukuhkan kuasa di Yaman.
Emiriyah pula menunjukkan yang ia mempunyai posisi yang agak kuat dan pengaruhnya mampu mencorakkan respons pihak lain termasuk kuasa besar dunia.