Dalam konflik Yaman, hubungan Houthi dengan Iran sering diperbesarkan, sehingga bagi banyak pihak yang menilai Yaman, hanya isu ini yang menjadi perhatian utama.
Tajuk-tajuk berita pula sentiasa membawa naratif ini, dan suka menyebut Houthi sebagai proksi, sekutu rapat atau sekurang-kurangnya, disebut sebagai berkaitan dengan Iran.
Hal ini menimbulkan banyak masalah kerana dalam berita yang isu Iran tidak ada kaitan pun disebut nama negara tersebut.
Ini menguatkan lagi salah faham tentang peranan Iran di Yaman. Memang ada peranan Iran di Yaman, tetapi berita dan kenyataan pemimpin negara terlibat meletakkan seolah-olah peranan Iran ini sangat besar dan mendalam.
Ramai yang telah menerima semua cerita ini akhirnya hanya pernah mendengar peranan Iran, tetapi terlepas daripada peranan pihak lain termasuk Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, negara haram Israel, Amerika Syarikat dan banyak lagi.
Propaganda sebelum pasukan diketuai Saudi memasuki Yaman pada 2014 meletakkan ancaman perluasan kuasa Yaman sebagai isu utama.
Saudi dan Emiriyah menyebutnya dan diulangi oleh pemimpin Zionis pada masa itu, Benjamin Netanyahu dalam ucapan di Washington.
Apa yang ramai terlepas pandang ialah peranan kuasa-kuasa lain, terutama Saudi dan Emiriyah, dan AS yang sudah lama mensasarkan Yaman kerana dikatakan kawasan proksi Iran dan menjadi pengkalan kumpulan al-Qaeda.
Hubungan kumpulan tertentu seperti kumpulan beraliran Salafi/Wahabi di Yaman dengan Riyadh lebih rapat, dan benar-benar berperanan sebagai proksi.
Di sebelah selatan, hubungan Majlis Peralihan Selatan (STC) dengan Abu Dhabi lebih kuat, dan kepentingan geopolitik dan geoekonomi Emiriyah lebih jelas di sini.
Peristiwa terbaru di Asia Barat sejak beberapa bulan kebelakangan ini menunjukkan hubungan Houthi dengan Iran tidak seperti digambarkan, malah bukan hubungan antara kuasa di Yaman dengan negara asing yang paling kuat.
Serangan ke atas Emiriyah tidak lama dulu menunjukkan sejauh mana Houthi bebas daripada Iran.
Houthi tidak merujuk setiap tindakan dengan Tehran, dan mempunyai banyak kepentingan yang tidak selari dengan Iran.
Malah, sebagai sebuah kuasa yang kecil di sebuah negara kecil, pilihan tindakan Houthi ini ada rasionalnya.
Dapat diperhatikan, Emiriyah tidak mengaitkan Iran dan terus mencetus kekecohan dengan jirannya di Teluk Parsi itu.
Emiriyah juga boleh berbaik dengan Iran jika ada keperluan, seperti mana ia berbaik dan membantu Turki yang sedang berdepan masalah.
Saudi dan Emiriyah juga mempunyai kepentingan dalam rundingan nuklear antara beberapa negara dengan Iran, JCPOA.
Kedua-dua negara ini sendiri nampak lebih berhati-hati dan membezakan isu dengan Houthi dan isu dengan Iran.
Suasana politik pada masa kini memang sudah jauh berbeza. Saudi sedang berunding dengan Iran, dan Emiriyah sudah bekerjasama dalam beberapa isu dengan Turki.
Houthi melihat perkembangan ini sebagai sebuah pemerintah atau negara yang berkepentingan.
Kelihatan Houthi walaupun berhubungan baik dengan Iran, tetap mahu dasar luar yang lebih bebas, untuk disesuaikan dengan kepentingan tersendiri di dalam negara dan keperluan semasa dalam dasar luar.