Hasil Gencatan, Hudaydah Terima Kemasukan Barangan Bantuan

IMG-20220405-WA0010

Pelabuhan penting Yaman di Laut Merah, Hudaydah, menerima kemasukan pertama barangan bantuan dal tempoh gencatan pada hari Ahad, hari pertama gencatan senjata berkuat kuasa penuh.

Pihak berkonflik di Yaman mencapai persetujuan gencatan senjata selama dua bulan bermula Ramadan ini, dalam satu usaha rundingan perdamaian terbaru.

Pada Ahad, sebuah kapal tangki minyak berlabuh di Hudaydah, kemasukan pertama yang dibenarkan oleh pakatan ketenteraan diketuai Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu di bawah perjanjian gencatan senjata.

Hudaydah, yang berada di pantai Laut Merah dalam wilayah Yaman dikuasai Houthi, disekat daripada menerima kemasukan barangan oleh tentera pakatan Saudi.

Pelabuhan penting ini pernah menyaksikan pertempuran sengit antara Houthi dengan tentera pakatan.

Kedua-dua pihak mahu menguasai sepenuhnya pelabuhan Hudaydah dan bandar sekitarnya, untuk menguasai satu akses penting di Yaman dan Laut Merah.

Hudaydah ialah pelabuhan utama di Laut Merah dan salah satu laluan masuk perdagangan ke Yaman, selain Aden dan al-Mokha dan al-Mukalla di pantai sebelah selatan.

Aden di selatan dan dikuasai pemisah Selatan ialah satu lagi pelabuhan utama Yaman.

Sepanjang gencatan senjata dua bulan ini, pakatan Saudi akan membernarkan 18 buah kapal tangki minyak memasuki Hudaydah.

Perjanjian ini juga membenarkan penerbangan komersil dari Sanaa ke Mesir dan Jordan, sebanyak dua penerbangan seminggu.

Pihak bertelagah juga digesa membuka laluan di Taiz, kawasan yang juga direbut semua pihak, dikuasai pihak prokerajaan tetapi dikepung oleh Houthi.

Selain Marib, Hudaydah ialah lokasi strategik yang direbut Houthi dan pihak kerajaan, selain kumpulan pro-Emiriyah yang mempunyai kepentingan geopolitik pelabuhan di sepanjang pantai Yaman dari selatan hingga ke Laut Merah.

Emiriyah sudah mempunyai rangkaian pelabuhan strategik yang memastikan agenda geopolitiknya di rantau ini.

Dari Dubai menyusuri Yaman hingga ke seberang dari Tanduk Afrika ke Mesir di utara Laut Merah, syarikat pelabuhan Emiriyah berpengaruh ke atas pelabuhan-pelabuhan kawasan ini, melalui pelaburan dan kerjasama politik.

Emiriyah juga sudah mengukuhkan kedudukan di pulau Perim di Laut Merah, sebahagian wilayah Yaman yang berada di laluan Bab al-Mandab.

Perkembangan berhubung pembukaan Hudaydah ini ialah satu langkah positif hasil gencatan, walaupun banyak pihak meragui gencatan akan terus berjalan tanpa pencabulan dari mana-mana pihak.

Gencatan ini juga sudah berjaya menjadikan hari-hari pertama Ramadan di Yaman aman daripada konflik bersenjata.

Leave a comment