Arab Saudi telah menunjukkan langkah ke arah perdamaian dengan lebih jelas apabila mula menerima jamaah haji dari Yaman.
Buat kali pertama sejak perang tercetus pada 2015, warga Yaman dapat menyertai ibadah haji di Arab Saudi.
Ini bermula dengan segera selepas rundingan damai ke arah perdamaian dan peralihan politik di Yaman berjalan.
Kedatangan jamaah haji ini sebahagian daripada pemulihan dan penamatan sekatan yang diletakkan antara Saudi dengan Yaman ekoran perang.
Satu tanda positif yang diraikan ialah kehadiran delegasi Houthi atau Ansarallah untuk ibadah haji.
Delegasi dari kerajaan di Sanaa itu berlepas dari ibu negara Yaman pada 19 Jun lalu.
Sebelum itu, seramai 180 orang anggota jamaah haji terdiri daripada pegawai kerajaan, ilmuan dan pemimpin-pemimpin kabilah telah tiba di Arab Saudi.
Penerbangan haji ke Arab Saudi ini ekoran gencatan senjata dan langkah perdamaian yang turut melibatkan pembukaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa untuk penerbangan awam selepas lapan tahun terhenti.
Sebelum ini, Lapangan Terbang Sanaa dan pelabuhan utama Yaman di Hudaydah dikepung oleh tentera pakatan diketuai Saudi sejak 2015.
Lapangan terbang Sanaa hanya dibenarkan melalukan beberapa penerbangan komersil dan kemanusiaan dengan Kaherah dan Amman, dengan kapasiti yang jauh kecil berbanding sebelum perang.
Perkembangan ini juga sebahagian proses damai antara Sanaa dengan Riyadh yang dikelola oleh Oman.
Selain pembukaan lapangan terbang dan pelabuhan, persetujuan lain melibatkan Arab Saudi termasuk pembayaran gaji kakitangan awam dan pertukaran tahanan, yang menyaksikan ratusan tahanan dibebaskan oleh kedua-dua pihak.