Gencatan Senjata Yaman Disambung Lagi

IMG-20220602-WA0049

Pihak-pihak bertelagah di Yaman pada Khamis bersetuju melanjutkan lagi gencatan senjata yang dimulakan pada hari pertama Ramadan lalu.

Gencatan senjata ini, yang paling lama dan berjaya sejak perang bermula pada 2015 dilihat berjaya mengurangkan konflik bersenjata dan serangan ketenteraan, sekaligus mendorong semua pihak duduk berunding.

Wakil Khas PBB, Hans Grundberg berkata semua pihak terlibat di Yaman bersetuju menyambung gencatan senjata itu, yang disifatkan sudah menampakkan kesan yang nyata kepada semua.

“Sejak dua bulan lalu, warga Yaman sudah menyaksikan faedah yang nyata daripada gencatan senjata ini. Kematian orang awam merosot dengan banyak, bekalan minyak melalui Hudaydah bertambah, manakala penerbangan komersil dari dan ke lapangan terbang Sanaa dimulakan semula selepas ditutup selama hampir enam tahun,” kata Grundberg dalam satu kenyataan.

Rundingan untuk menamatkan sekatan Houthi ke atas laluan keluar masuk Taiz masih diteruskan, dan lanjutan gencatan senjata ini memberi isyarat positif melibatkan rundingan penting ini.

Leave a comment