Gencatan Senjata Yaman: 4 Perkara Mencabar dan Bermasalah

WhatsApp Image 2022-08-01 at 11.01.16 PM

Gencatan senjata di Yaman yang sudah bermula sejak April lalu sudah menampakkan manfaat kepada rakyat Yaman.

Gencatan senjata pertama selama sebulan Ramadan disusuli lanjutan gencatan seterusnya yang kini masih berjalan.

Terbaru, diplomat dan pihak terlibat termasuk wakil PBB dan Arab Saudi sedang mengusahakan agar gencatan baru dicapai lagi.

Ini boleh meneruskan kemajuan dicapai sejak awal, termasuk komunikasi dan rundingan antara Houthi dengan kerajaan yang masih diiktiraf antarabangsa.

Rundingan yang dimaksudkan melibatkan hal ehwal pentadbiran, termasuk melibatkan penjawat awam seperti pembayaran gaji, dan lain-lain hal yang melibatkan memudahkan kehidupan harian rakyat.

Walau bagaimanapun, gencatan senjata yang paling berjaya ini masih ada kelemahannya, termasuklah kemajuan dalam menamatkan sekatan-sekatan dan perjalanan tugas-tugas kerajaan dengan lebih berkesan.

Empat perkara di bawah ini, disebut-sebut sebagai perkembangan yang berat sebelah, dan memperlihatkan kelemahan perjanjian gencatan senjata dan pelaksanaan isi kandungannya.

1. Houthi dapat peluang berehat dan kukuhkan posisi

Satu kritikan utama gencatan senjata ialah ia memberi peluang kepada Houthi berundur dan membina semula kekuatan.

Pertempuran di Marib sudah terhenti, atau sekurang-kurangnya tidak lagi seperti sebelumnya, tapi ini memberi peluang Houthi memulihkan kembali tenaga dan kekuatan, membina semula strategi dan persenjataan.

Gencatan memberi peluang kepada tentera kerajaan juga untuk berundur dan membina kekuatan pada masa Houthi terus mara, tetapi ramai lebih bimbang kelebihan ini diperolehi Houthi.

2. Houthi tidak tunaikan kehendak perjanjian pulihkan keadaan

Banyak perkara dalam perjanjian gencatan senjata ini masih tidak dilaksanakan. Salah satunya ialah sekatan terhadap Taiz yang terus dikuasai Houthi.

Jalan keluar masuk Taiz masih dikawal Houthi, dan semua pihak lain tertakluk kepada peraturan Houthi ini. Di sebelah timur, kawasan paling padat penduduk, Taiz amat penting kepada Houthi.

Maka ia tidak mahu kehilangan kelebihan ini. Perjanjian perlu disambung lagi dan pelaksanaan langkah-langkah ke arah perdamaian ditingkatkan untuk melihat Houthi melunakkan posisinya melibatkan Taiz.

3. Masih ada dominasi Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu

Tidak boleh dinafikan, pengaruh Riyadh dan Abu Dhabi masih terlalu kuat, dan mencorakkan sebahagian besar perjanjian, termasuk pembahagian kuasa kepada pemimpin-pemimpin tempatan.

Malah, hakikatnya, gencatan senjata ini hanya berlaku selepas Saudi dan Emiriyah benar-benar mahukan ia berlaku, selepas beberapa kali perjanjian sebelumnya tidak mencapai matlamat sepenuhnya.

Arab Saudi masih lokasi pilihan pemimpin-pemimpin Yaman untuk menetap, jauh dari konflik di negara mereka sendiri. Hal ini juga menyumbang kepada sekatan kepada pelaksanaan perjanjian, kerana pemimpin yang tidak berada di dalam negara sendiri.

4. Pengaruh Iran yang semakin meningkat

Pengaruh Iran ialah satu tajuk yang bermasalah dan sukar, kerana sentimen yang dilibatkan sehingga mudah mencetus emosi berlebihan.

Iran biasa disebut sebagai pihak asing yang mahu masuk meluaskan dan membina pengaruh. Media sedunia mudah menyebut “Houthi yang disokong Iran,” pada masa sama tidak menekankan pengaruh Emiriyah dan Saudi, yang masing-masing lebih besar pengaruh dan mempunyai proksi yang lebih bergantung pada mereka.

Walau bagaimanapun, pengaruh Iran terus meningkat, walaupun hakikatnya tidak sekuat pengaruh Saudi dan Emiriyah yang lebih dekat dan mempunyai hubungan lebih rapat dan organik dengan kumpulan-kumpulan berpengaruh tempatan.

Perang yang berlaku, campur tangan Riyadh dan Abu Dhabi dan segala amaran tentang Iran, akhirnya menjadi ramalan yang terpenuhi sendiri.

Leave a comment