Yaman, negara yang sedang menuju penyelesaian konflik, mempunyai kaitan langsung dengan pertempuran yang baru tercetus di Sudan.
Rapid Support Forces (RSF), pasukan diketuai Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo yang sedang menentang tentera Sudan, ialah sebahagian pasukan terbesar tentera diketuai Arab Saudi di Yaman.
Beliau yang juga dikenali dengan gelaran Hamedti pada 2019 dilapor media sebagai berkata seramai 30,000 anggota bersenjata dari Sudan terlibat sebagai pasukan penentang Houthi.
RSF ditubuh secara rasmi pada 2013 di bawah pimpinan Presiden Omar Hasan al-Bashir pada masa itu.
Pasukan ini bergerak secara berasingan daripada tentera Sudan diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Burhan.
Dalam majlis peralihan yang ditubuhkan tentera ekoran rampasan kuasa pada 2019, Hamedti berada di kedudukan timbalan pengerusi di bawah Burhan sebagai pengerusi.
Militia yang akhirnya membentuk RSF ini dulu digunakan oleh Bashir untuk operasi ketenteraan di Darfur, dan kemudian di tempat-tempat lain.
Satu undang-undang diluluskan pada 2017 mengiktiraf RSF sebagai sebuah pasukan keselamatan bebas.
Kedua-dua tentera Sudan di bawah Burhan dan RSF pimpinan Hamedti bekerjasama menjatuhkan Bashir pada 2019.
Pertempuran yang berlaku di Sudan kini ialah akibat perselisihan antara RSF – yang dianggarkan mempunyai 100,000 anggota kini – dengan tentera berhubung kedudukan militia itu dalam pasukan tentera kebangsaan.
Walaupun wujud sebagai sebuah paramilitari tanpa senjata tentera negara seperti jet pejuang dan senjata canggih lain, RSF semakin kuat dan berpengaruh hasil penglibatannya di Yaman.
Melalui operasi di Yaman, Hamedti dan RSF mengukuhkan kedudukan melalui hubungan lebih rapat dengan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu.
Saudi dan Emiriyah walau bagaimanapun juga berhubungan baik dengan Burhan, dan hubungan baik ini kelihatan jelas pada awal rampasan kuasa pada 2019.
Dalam konflik terbaru ini, Hamedti kelihatan cuba menarik perhatian dan sokongan Abu Dhabi apabila menamakan kumpulan lawannya sebagai “Islamis.”
Islamis yang biasa bermakna sebahagian atau mempunyai kaitan dengan gerakan Ikhwan Muslimin kuat dimusuhi oleh Emiriyah.
Emiriyah menyokong kumpulan-kumpulan yang melawan Islamis Ikhwan; di Mesir ia memberi sokongan kepada tentera dan kerajaan awam kemudiannya, di Libya dengan menyokong Khalifa Haftar, dan di Yaman dengan menyokong kumpulan Selatan.
Satu lagi isu yang menarik ialah permulaan konflik di Sudan menyusuli permulaan penyelesaian konflik di Yaman, yang disertai puluhan ribu anggota militia RSF.
Ini memberi gambaran konflik yang berakhir di Yaman membolehkan RSF menumpukan pasukannya di Sudan dalam usaha merampas kuasa dan mengelakkan berlakunya peralihan kepada kerajaan awam.