Pakar ketenteraan, David Hambling, penulis buku Swarm Trooper: How Small Drones Will Conquer the World, menulis dalam majalah Forbes mengatakan, Houthi telah semakin maju dalam penghasilan drone, daripada sekadar dron buatan sendiri di bengkel buruk, kini telah menghasilkan dron lebih canggih dengan sumber teknologi antarabangsa.
Dron-dron terbaru Houthi ini, kini boleh pergi lebih jauh. Pada mulanya jarak dron Houthi sekadar sekitar 160km, tetapi kini sudah melepasi 1,000km dan terkini sudah mencapai 2,000km.
Kepada Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu terutamanya, dron Houthi ialah satu ancaman yang nyata pada masa kini, mengancam fasiliti minyak, kedudukan tentera, dan lapangan terbang.
Terbaru, Houthi mengumumkan melalui saluran televisyen mereka al-Masirah TV yang mereka telah melancarkan dron dilengkapi bom ke arah Pengkalan Udara Raja Khalid di bandar Khamis Mushait di selatan Arab Saudi.
Serangan itu tepat mengenai sasaran, kata jurucakap Houthi, Brig Jeneral Yahya Saree dalam kenyataan melalui al-Masirah TV.
Hujung bulan lalu, Houthi berkata mereka melancarkan serangan ke atas kedudukan ketenteraan dan tenaga Saudi dengan 18 buah dron bersenjata.
Kerajaan Saudi melalui kementerian tenaga pula dilapor berkata berlaku serangan di sebuah stesen pengedaran petroleum menyebabkan kebakaran.
Pada masa yang sama, kerajaan Saudi juga sering mengumumkan kejayaan menembak dan memintas dron Houthi.
Walau bagaimanapun, Houthi terus giat menyerang, mengggunakan lebih banyak dron dan taktik seperti mengalih tumpuan melalui serangan pelbagai arah.
Pada masa yang sama, keupayaan Houthi menghasilkan dron berkeupayaan tinggi semakin jelas.
Pada peringkat awal, Houthi menggunakan dron buatan sendiri, antaranya dinamakan Qaset, dengan meniru dron Iran, Ababil dengan jarak 150km.
Houthi pada 2018 mendakwa berjaya menyerang lapangan terbang Dubai, menggunakan dron baharu, Samad-3. Jarak Dubai ialah lebih 1,200km dari Yaman.
Perkembangan ini mengejutkan semua pihak, kerana jarak senjata baharu Houthi yang boleh mengancam kedudukan jauh dari Yaman.
Sejak itu, Houthi terus meningkatkan keupayaan dron mereka, dan tahun berikutnya, 2019, Houthi menggiatkan serangan.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sareee mengumumkan mereka telah mencapai kemajuan tinggi, dan melengkapkan stok yang banyak. Katanya pada awal 2019, “Tahun ini ialah tahun dron.”
Seperti dijanjikan, serangan lebih jauh dan berkesan berlaku lebih kerap pada 2019. Malah, sebuah panel PBB mendapati Houthi memiliki dron baharu dibina dengan enjin buatan Jerman atau China, dengan kemampuan perisikan atau serangan.
Houthi juga, selain Samad-3, telah menghasilkan dron baharu Samad-4, dengan jarak didakwa lebih 2,000km, selain kemampuan membawa lebih muatan bom.
Kini, lebih 2 tahun selepas pengumuman Houthi itu, serangan dengan dron lebih canggih terus berlaku, membuktikan dakwaan kumpulan disokong Iran itu tentang kemampuan persenjataan baharunya.