Emiriyah Arab Bersatu mencatat satu kejayaan penting dalam agendanya menguasai laluan Laut Merah semalam, apabila Presiden Somaliland Muse Bihi Abdi menerima duta pertama dari Emiriyah, negara yang kuat menyokong kemerdekaannya selama ini.
Somaliland ialah wilayah Somalia yang sudah mengisytiharkan kemerdekaan, tetapi masih tidak mendapat pengiktirafan dunia. Ia terletak di Tanduk Afrika, berseberang dengan Yaman.
Satu yang menarik ialah Emiriyah juga menyokong pemisah Selatan di bahagian selatan Yaman, yang dipimpin Aidarous al-Zubaidi, ketua Majlis Peralihan Selatan (STC).
Perkembangan ini mencatat satu kejayaan dalam straregi Abu Dhabi mengukuhkan pengaruh di Laut Merah dan Tanduk Afrika.
Di sebelah Afrika, Somaliland, wilayah paling utara Somalia dan paling hampir dengan Bab al-Mandab ialah sekutu kuat Emiriyah.
Emiriyah juga sudah berjaya mengurangkan pengaruh Turki di Sudan ekoran kejatuhan kerajaan Omar al-Bashir dan pengukuhan kepimpinan baharu yang rapat dengan Abu Dhabi.
Eritrea, lokasi pengkalan tentera Emiriyah yang dibina untuk membantu operasi di Yaman juga satu lagi negara yang berhubungan baik dengan Abu Dhabi.
Di sebelah utara, Mesir semakin kuat sebagai sekutu Emiriyah, selepas pengaruh Qatar diruntuhkan ekoran kejatuhan Mohamed Morsi dan kerajaan yang dikuasai Ikhwan Muslimin.
Di seberang Laut Merah, di Semenanjung Arab, selatan Yaman sudah semakin menyerupai sebuah negara merdeka, dengan pengaruh kuat Emiriyah di Aden dan wilayah selatan termasuk Socotra.
Perang di Yaman telah menjadi satu medan penting bagi Emiriyah, sebuah kuasa pelabuhan utama dunia melalui syarikat multinasionalnya, Dubai Ports World.
Pada masa yang sama, kehadiran tenteranya dan kemampuannya sebagai sebuah kuasa serantau juga dikukuhkan melalui operasi pelbagai dimensi di Yaman.
Semua ini telah mengukuhkan lagi kedudukan Emiriyah dalam persaingannya dengan Turki dan Qatar di rantau Arab, terutama di kawasan strategik Laut Merah dan Tanduk Afrika.
Rujukan berita:
President Bihi Welcomes the United Arab Emirates Ambassador to Somaliland