Perjanjian Abraham yang menormalisasikan hubungan diplomatik Emiriyah Arab Bersatu dengan negara haram Israel kini sudah menampakkan satu ruang kerjasama dalam pelancongan.
Pelancongan ini melibatkan destinasi di Yaman, tetapi melibatkan pelancong dari Israel, yang dibawa ke kepulauan Socotra menggunakan visa Emiriyah.
Ekoran tindakan itu, kerajaan Yaman mengecam keras tindakan Emiriyah yang telah lama mengukuhkan penguasaan ke atas kepulauan tersebut.
Kementerian pelancongan Yaman berkata melalui satu kenyataan Isnin lalu bahawa tindakan Emiriyah itu mencabul undang-undang antarabangsa, kerana kepulauan itu sebahagian wilayah Yaman dan dikuasai oleh pakatan Emiriyah-Arab Saudi.
Menurut kenyataan kerajaan Yaman itu, tindakan Abu Dhabi itu mendedahkan program Emiriyah yang selari dengan perancangan Zionis yang mahu menguasai pulau-pulau Yaman sambil memulakan langkah normalisasi.
Menurut sumber dari Yaman, Emiriyah meneruskan operasi penerbangan terus ke Socotra untuk tujuan pelancongan tanpa kebenaran kerajaan Yaman.
Beratus orang pelancong tiba di kepulauan Socotra sepanjang beberapa hari minggu lalu menggunakan visa dikeluarkan Abu Dhabi, menurut sumber tersebut.
Perkembangan ini disaksikan lebih lapan bulan selepas Emiriyah menjalinkan hubungan diplomatik dengan rejim Zionis melalui perjanjian dibroker oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Kepulauan Socotra didiami oleh 60,000 penduduk, berdekatan hujung Tanduk Afrika dan meliputi kawasan laluan ke Bab al-Mandab, laluan sempit yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan Laut Arab.
Kepulauan ini dikenali dunia ekoran keunikan flora dan faunanya yang diiktiraf Unesco, dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi perhatian dunia dan menarik pengembara dari Barat.
Pada Jun tahun lalu, pemisah Majlis Peralihan Selatan, STC, mengambil alih pusat pentadbiran di pulau utama Socotra, mengukuhkan penguasaan kumpulan pemisah itu yang disokong kuat Abu Dhabi.
Tindakan STC itu disifatkan sebagai satu rampasan kuasa oleh kerajaan pimpinan Presiden Abdrabouh Mansour Hadi.
Emiriyah kini mempunyai sebuah pengkalan tentera di Socotra, pada masa sama kumpulan pemisah STC juga telah menyuarakan kesediaan membina hubungan dengan Zionis.
Socotra dan seluruh bahagian selatan Yaman kini dikuasai STC dan Emiriyah yang menaungi dan menyokong kumpulan paling berkuasa di selatan itu.