Emiriyah Bina Lapangan Terbang Baru, Turut Jadi Pengkalan Tentera

WhatsApp Image 2022-11-28 at 20.16.42

Agenda geopolitik Emiriyah Arab Bersatu ialah satu isu yang sentiasa menjadi perhatian sejak bermula perang di Yaman pada 2015.

Kuasa ketenteraan dan pelabuhan itu dilihat semakin memperluaskan kehadirannya di seluruh pantai dari Teluk Parsi hingga ke utara Laut Merah.

Pelabuhan dan pengkalan tentera Emiriyah memenuhi seluruh kawasan kritikal yang rancak dalam persaingan kuasa serantau dan global itu.

Negara kecil di tenggara Semenanjung Arab itu sedang pada peringkat akhir mempersiapkan lapangan terbang baharu al-Makha di Taiz, yang dikatakan akan turut berfungsi sebagai sebuah pusat operasi ketenteraan, walaupun diperlihatkan sebagai lapangan terbang awam.

Lapangan terbang ini menggantikan pengkalan di Eritrea, yang ditamatkan operasinya tahun lalu untuk mengukuhkan kehadiran Emiriyah di Yaman, selain mengelakkan persepsi buruk pihak luar.

Emiriyah membina pusat operasi ketenteraan dan lapangan terbang di Eritrea sejak terlibat di Yaman, dan pengkalan itu menjadi perhatian dunia dan menimbulkan persoalan tentang agenda geopolitik yang lebih besar negara itu di Yaman dan kawasan sekitarnya.

Pengkalan di negara Tanduk Afrika itu sebelum ini digunakan untuk melancarkan operasi serangan melalui udara dan laut terhadap tentera Yaman.

Sepanjang September dan Oktober tahun ini, beberapa pesawat pengangkut tentera C-140 Hercules mendarat di lapangan terbang al-Makha, menunjukkan peranannya sebagai pusat logistik perbekalan.

Lapangan terbang dengan landasan sepanjang tiga kilometer ini dibina dengan keupayaan menerima pesawat kargo tentera dengan kapasiti 130 tan.

Menurut penduduk tempatan yang menyaksikan operasi di lapangan terbang ini, sebuah pesawat milik pertubuhan bukan kerajaan Doctors Without Borders dilihat mendarat di sana semasa pelancaran lapangan terbang itu pada 24 November lalu.

Tindakan itu dikatakan untuk memperlihatkan fasiliti ini sebagai kemudahan awam, yang digunakan untuk membantu menangani krisis kemanusiaan di Yaman.

Pendaratan kapal terbang pertubuhan kemanusiaan itu difilemkan bagi tujuan promosi lapangan terbang itu sebagai fasiliti awam.

Menurut pemerhati, lapangan terbang di Taiz, kawasan kritikal dalam krisis Yaman ini, tidak mempunyai beberapa aspek penting lapangan terbang awam dan komersil.

Ia ketiadaan kelengkapan asas seperti menara kawalan, peralatan komunikasi, dan landasan yang cukup untuk pendaratan dan pelepasan yang selamat.

Walau bagaimanapun, seorang ahli Majlis Kepimpinan Presiden, pihak berkuasa yang disokong Arab Saudi, lapangan terbang baharu itu dianggap penting dan dapat digunakan untuk menghadapi tekanan dan kepungan pihak Houthi.

Kemudahan yang boleh digunakan pihak tentera itu dilihat dapat membantu berdepan Houthi yang mensasarkan untuk menguasai sepenuhnya Taiz.

Pihak yang tidak sehaluan dengan Houthi melihat lapangan terbang itu dapat memberi manfaat kepada Taiz, bandar pelabuhan Hudaydah, dan kawasan sekitarnya.

Keadaan kebelakangan ini secara relatifnya agak tenang, walaupun berlaku pertempuran bersenjata dan serangan dron secara sporadik di beberapa tempat.

Pada masa sama, Abu Dhabi juga cuba mengukuhkan kedudukan melalui bantuan senjata, dan bekerjasama dengan Israel untuk membina hab ketenteraan dan perisikan di Socotra.

Walaupun lapangan terbang al-Makha hampir boleh beroperasi penuh, pakatan Saudi-Emiriyah masih menghadkan operasi lapangan terbang Sanaa.

Leave a comment