Lanjutan daripada gencatan senjata dan siri rundingan yang menyusul, perdamaian atau persetujuan politik untuk menghentikan konflik besar di Yaman kelihatan semakin hampir.
Sejak Ramadan yang lepas, gencatan senjata telah dilaksanakan di Yaman, dan akhirnya membawa kepada rundingan damai antara pihak-pihak bertelagah.
Pada masa ini, rundingan yang dikelolakan oleh Oman sedang berlangsung di Arab Saudi, melibatkan pihak Houthi yang menguasai Sanaa dengan Riyadh.
Rundingan ini dijalankan tanpa penglibatan Abu Dhabi, dan pihak yang disokongnya, Majlis Peralihan Selatan (STC) yang secara de facto sudah berperanan sebagai kerajaan “Yaman Selatan.”
Emiriyah walau bagaimanapun dalam satu kenyataan menyatakan sokongan kepada proses damai dipimpin oleh Oman ini, kenyataan yang dilihat sebagai satu langkah diplomasi.
Kebelakangan ini, hubungan Saudi dengan Emiriyah sebenarnya semakin keruh, akibat dasar yang berbeza malah bertentangan di Yaman.
Perkembangan ini pula berlatar belakang pemulihan hubungan diplomatik antara Arab Saudi dengan Iran.
Riyadh kini kelihatan semakin selesa dengan Houthi, yang selama ini diletak sebagai “proksi Iran” yang berperanan dalam pengukuhan pengaruh Iran dan penyebaran Syiah.
Pemulihan hubungan dua kuasa bersaing di dunia Arab ini telah mula menampakkan kesan di Yaman, termasuk dalam bentuk kedudukan Houthi yang semakin diiktiraf oleh Riyadh sendiri.
Sejak awal operasi ketenteraan diketuai Saudi di Yaman, perbezaan antara Saudi dengan Emiriyah sudah kelihatan, paling utama ialah tumpuan Abu Dhabi di bahagian selatan.
Pada masa sama, Saudi mengetuai serangan-serangan bersenjata di Yaman dan menerima kesan negatifnya dari sudut imej antarabangsa, manakala Emiriyah secara tidak menonjol mengukuhkan penguasaan di selatan.
Sejak 2015, keretakan hubungan kedua-dua kuasa Arab diketuai oleh putera mahkota berpengaruh itu hanya muncul kebelakangan ini.
Hal ini sehingga Amerika Syarikat sendiri mengambil tindakan mendorong kedua-dua Riyadh dan Abu Dhabi memulihkan hubungan.
Rundingan di Arab Saudi yang terbaru ini memperlihatkan sikap jelas Riyadh apabila pihak selatan disokong Emiriyah dan Majlis Kepimpinan Presiden yang pro-Saudi sendiri tidak dilibatkan.
Masing-masing Saudi dan Emiriyah meneruskan dasar berbeza melibatkan Yaman, dengan Riyadh menyokong kumpulan yang kini berkuasa di Sanaa dan Abu Dhabi menyokong penguasa di Aden.
Terbaru, Emiriyah menunjukkan tindakan mengangkat kedudukan kumpulan Selatan sebagai aktor negara, dilihat melalui kehadiran wakil kerajaan Aden di Perhimpunan Agung PBB di New York, AS.
Pertaruhan antara Saudi dengan Emiriyab semakin besar pada masa ini, ketika penguasaan sebenar Yaman semakin jelas hasil rundingan yang sudah berjalan sejak beberapa bulan lalu.
Kepentingan kedua-dua Arab Saudi dan Emiriyah masih agak selari di dunia Arab, dan masing-masing masih tidak boleh menolak pihak lain sepenuhnya.
Kepentingan ekonomi, geopolitik serantau di rantau Laut Merah dan Teluk Parsi terutamanya masih menuntut kedua-dua kuasa Arab ini bekerjasama.
Perkembangan di Yaman yang strategik dan semakin kritikal ini kini sedang menjadi satu ujian utama hubungan dan kerjasama kedua-dua kuasa serantau ini.