Dron Houthi Dalam Perang Yaman

Pada 14 September 2019, serangan dron ke atas fasiliti minyak Arab Saudi di Abqaiq dan Khurais di timur Arab Saudi telah menjejaskan pengeluaran minyak negara pengeksport utama sumber tenaga itu.

Serangan yang dipercayai didalangi Iran yang membantu Houthi itu telah menggemparkan dunia industri minyak, ekoran bekalan yang tersekat akibat kerosakan di fasiliti minyak Saudi itu.

Harga minyak yang diperdagangkan di pasaran dunia meningkat ekoran serangan itu, kesan kebimbangan terhadap bekalan yang mungkin terjejas.

Bekalan minyak dunia walau bagaimanapun tidak teruk terjejas, dan kembali pulih segera.

Tetapi serangan dron oleh Houthi itu menyedarkan dunia tentang kemampuan ketenteraan Houthi, yang semakin yakin dan efisyen dengan penggunaan dron.

Selepas itu, setiap tahun, pada 2020 dan tahun ini, berita serangan dron ke atas Arab Saudi, termasuk pada fasiliti minyak, kerap muncul.

Serangan yang semakin kerap itu menandakan kemampuan Houthi yang semakin meningkat, dan bagaimana terdedahnya Arab Saudi terhadap serangan dari selatan itu.

Sumber utama dron dan teknologinya bagi Houthi ialah Iran, yang juga pesaing tradisi Saudi, di rantau Arab dan dunia Islam.

Pada masa sama, kedua-dua kuasa ini juga pengeluar minyak yang besar.

Tahun ini, pada bulan Mac sahaja, dua serangan dron terhadap fasiliti minyak Saudi berlaku.

Penggunaan dron berkemampuan tinggi ini, dengan kebolehan membawa peledak dan jarak penerbangan yang semakin jauh, akan terus mengancam Arab Saudi dan juga musuh Houthi di Yaman sendiri.

Saiz dron yang termasuk jenis kecil dan lebih mudah diseludup dan dioperasikan di mana-mana memudahkan lagi penggunaannya.

Di Marib terutamanya, Houthi menggunakan dron sebagai salah satu senjata utama, memberikannya kelebihan dalam berdepan tentera kerajaan yang disokong Saudi.

Pada 2019, tahun berlaku serangan di dua fasiliti minyak utama Saudi itu, ialah masa kemajuan dron mula melonjak dengan pantas.

Di medan-medan perang seluruh Asia Barat dan Afrika Utara, termasuk Syria dan Libya, dron menjadi salah satu senjata penentu kemampuan pasukan-pasukan terbabit.

Di Libya sebagai contoh, dron buatan Turki menjadi penentu dan memberi kemenangan kepada kumpulan kerajaan yang menentang kumpulan Khalifa Haftar yang disokong Emiriyah Arab Bersatu dan beberapa negara Eropah.

Yaman semakin banyak menyaksikan penggunaan dron, terutama oleh Houthi.

Pasaran dron yang lebih bebas, hingga membolehkan mana-mana pihak bukan kerajaan membeli dan mengoperasikannya, menambahkan kebimbangan tentang ancaman yang berleluasa.

Houthi sendiri asalnya ialah sebuah kumpulan bukan kerajaan, yang kecenderungan militan dan perang gerilanya lebih sukar dijangka.

Penggunaan dron oleh Houthi ini membawa satu cabaran keselamatan yang besar bagi Yaman, sama ada dalam keadaan perang kini atau dalam keadaan aman nanti.

Ini akan lebih parah lagi sekiranya dron yang menjadi sebahagian stok senjata mereka terlepas ke tangan pihak lain yang tidak bertanggungjawab, atau Houthi ditewaskan dan kembali bergerak sebagai kumpulan militan yang lebih bebas bertindak dan melepaskan diri dari dipertanggungjawabkan seperti sebuah kerajaan.

Leave a comment