Di tengah perang, Socotra tekad pelihara pokok darah naga
Mohammed Salem Abdullah Masoud, dikenali dengan gelaran Keabanni, memiliki sebuah kem pelancongan di Socotra, dan menjalankan perniagaan pemandu pelancong.
Keabanni, yang berusia 50-an, juga seorang pemulihara pokok darah naga.
Pokok darah naga ini, menurutnya, ialah jantung kepada Socotra.
Semasa kecil, beliau mendengar cerita daripada moyangnya tentang pokok ini.
Cerita tentang kawasan rata yang dipenuhi pokok darah naga, hingga bayangnya bersambung dan seorang itu boleh berjalan di bawah redup tanpa terkena pancaran matahari langsung.
Getah merah darah yang mengalir bila pokok ini ditoreh ditumbuk hingga menjadi serbuk kering.
Bahan ini dijual kepada pedagang Yunani, Arab, dan India, yang kemudian menjualnya ke seluruh dunia.
Serbuk merah ini kemudian boleh menjadi bahan untuk pelbagai kegunaan, daripada cat tembikar, bahan solekan, ubat luka dan melecet, dan untuk merawat cirit birit dan pendarahan selepas bersalin.
Walau bagaimanapun, aktiviti manusia dan perubahan iklim telah memberi kesan buruk pada tumbuhan unik ini.
Ada saintis yang menjangka pokok ini akan mengalami kemerosotan dalam 30 hingga 80 tahun akan datang.
Petr Madera, profesor botani hutan dari Republik Czech, menulis dalam sebuah terbitan pada 2019 mengatakan masa depan tumbuhan unik ini suram untuk jangka panjang.
Namun Keabanni tidak mahu menyerah kalah.
Sejak 20 tahun lalu, kem pelancong beliau di Diksam juga menjadi seperti ibu pejabat projek pemuliharaan pokok darah naga ini.
Di kem beliau ini juga, terdapat nurseri dan pusat kajian tidak formal pokok ini.
Pokok darah naga memainkan peranan ekologi dan hidrologi yang penting di Socotra.
Pokok lain menyerap air dari tanah dan menyalurkannya ke daun, tetapi pokok darah naga menyerap air dari lembapan di udara dan menyalurkannya ke tanah.
Ini bermakna kehilangan sebatang pokok darah naga mengakibatkan kehilangan sumber air untuk sistem sekitarnya.
Menurut Kay Van Damme, seorang penyelidik Eropah dari Belgium yang telah bekerja di Socotra sejak hujung 1990-an, kehilangan air akibat kehilangan sebatang pokok darah naga mencapai ratusan liter setahun dalam sistemnya.
Pokok ini digelar “spesis payung,” bukan kerana bentuknya tetapi kerana perlindungan dan sokongan untuk spesis lain.
Spesis haiwan seperti cicak tanah, ular, hingga pokok berbunga disokong oleh pokok darah naga ini.
Satu kajian mendapati 92 jenis tumbuhan, 32 daripadanya, termasuk tujuh spesis endemik, hanya tumbuh berdekatan pokok darah naga.
Dua faktor utama mengancam kelangsungan pokok ini. Pertama krisis iklim.
Kemarau panjang bermakna kurang lembapan di udara, menyebabkan anak pokok sukar membesar.
Cuaca buruk juga menjadi ancaman. Pada 2015, dua taufan melanda Socotra, dan memusnahkan sekitar 30 peratus pokok di kepulauan ini.
Satu lagi faktor ialah kambing yang banyak di Socotra, yang memakan apa sahaja daun termasuk anak pokok tumbuhan terancam ini.
Pulau Socotra ialah pulau terbesar di kepulauan Socotra, dengan kepelbagaian bio yang menyebabkannya digelar “Galapagos Lautan Hindi.”
Dianggarkan 37 peratus daripada 825 spesis tumbuhan, 90 peratus reptilia dan 95 peratus siput di sini hanya boleh didapati di kepulauan ini.
Pada tahun 2008, Unesco menamakan kepulauan Socotra sebagai lokasi warisan semula jadi dunia.