Covid-19: Yaman Terima Vaksin Pertama

Yaman telah menerima vaksin pertama melalui skim Covax global hujung Mac lalu, seminggu selepas kerajaan memberi amaran darurat kesihatan disebabkan gelombang kedua Covid-19.

Sebuah pesawat membawa 360,000 dos vaksin AstraZeneca buatan India tiba di Aden, ibu negara sementara Yaman, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut wakil Unicef di Yaman, Philippe Duamelle, Yaman kini memiliki kapasiti melindungi golongan paling berisiko termasuk kakitangan kesihatan, agar mereka dapat terus bertugas melindungi mereka yang memerlukan terutama kanak-kanak dan keluarga.

Seminggu sebelum ketibaan vaksin, jawatankuasa coronavirus Yaman menggesa kerajaan mengisytiharkan darurat kesihatan awam ekoran peningkatan jangkitan.

Jawatankuasa itu menggesa pelaksanaan “perintah berkurung terhad” melibatkan penutupan dewan perkahwinan, pusat beli belah dan masjid selain waktu solat.

Kerajaan Yaman berkata vaksin akan diedarkan seluruh negara dan bekalan kedua dijangka tiba pada bulan Mei nanti. Yaman dijangka menerima keseluruhan 1.9 juta dos vaksin tahun ini.

Perang selama enam tahun telah menjerumuskan Yaman ke dalam krisis kemanusiaan yang dahsyat, dengan 20 juta penduduk – daripada keseluruhan 30 juta populasi Yaman – memerlukan pelbagai jenis bantuan.

Keadaan sebenar Covid-19 di Yaman sukar dinilai dengan tepat kerana ujian besar-besaran tidak dapat dilakukan seperti mana negara lain, akibat kesukaran akses perkhidmatan perubatan dan kelemahan dalam laporan rasmi.

Kerajaan Yaman telah melaporkan 4,100 kes dan keseluruhan 864 kematian. Bagaimanapun, kumpulan Houthi yang menguasai kawasan paling ramai populasi tidak menerbitkan data sejak Mei lalu.

Ketibaan vaksin ini ialah satu perkembangan positif dalam keadaan Yaman masih menyaksikan perang berterusan dan perkhidmatan kesihatan hampir lumpuh akibat infrastruktur yang terjejas.

Penerimaan vaksin buatan India ini juga merupakan sebahagaian diplomasi vaksin negara tersebut, yang telah membekalkan vaksin ke seluruh dunia dalam satu persaingan dengan negara pesaing China.

Sehingga kini, dilaporkan sebanyak 71 buah negara – sebahagian besarnya negara membangun yang tidak mempunyai sumber yang cukup untuk menempah vaksin – sudah menerima vaksin buatan India.

Leave a comment