Presiden baharu Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan yang negara itu menamatkan sokongan untuk Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu melaksanakan operasi serangan di Yaman.
Biden dilihat telah melaksanakan satu ikrarnya berhubung operasi negara rakan di Yaman, yang berlangsung dengan sokongan kuat AS di bawah Presiden Barack Obama dan Donald Trump.
Perang yang sudah berlangsung selama 6 tahun itu sudah mengorbankan lebih 110,000 nyawa warga Yaman, dan berpuluh ribu lagi menjadi pelarian dan berdepan kebuluran serta ketiadaan keperluan asas.
Perang yang meningkatkan lagi masalah Yaman yang sudah sedia dihimpit kesukaran sejak kebangkitan yang menjatuhkan kerajaan pada 2011 menjerumuskan Yaman ke dalam krisis kemanusiaan yang kritikal.
Biden mengumumkan tindakan menamatkan bantuan kepada Riyadh dan Abu Dhabi ini dalam satu ucapan penting berhubung dasar luar yang pertama sebagai presiden.
Perang yang bermula pada 2015 selepas Saudi dan Emiriyah mengetuai satu pasukan serantau memasuki Yaman, dengan alasan memerangi Houthi.
Desakan memulakan kempen ketenteraan itu meningkat ekoran tindakan Houthi menawan ibu negara, Sanaa, dan menyebabkan kerajaan Yaman berpindah ke Aden.
Arab Saudi, Emiriyah, dan Israel mendakwa Houthi disokong kuat oleh Iran dan penaklukan Sanaa bermakna Tehran berjaya mengkuhkan pengaruh di negara selatan Semenanjung Arab itu.
Pemimpin Zionis, Benjamin Netanyahu melobi hingga ke Kongres AS di Washington, berkempen mendesak tindakan ketenteraan di Yaman dengan alasan memerangi perluasan kuasa Iran.
Saudi dan Emiriyah mula memasuki Yaman beberapa minggu selepas ucapan Netanyahu itu.
Arab Saudi, Emiriyah disertai tujuh negara Arab lain memulakan serangan udara di Yaman dengan sokongan AS, United Kingdom, dan Perancis.
Penghentian bantuan sokongan kepada tentera dipimpin Saudi itu walau bagaimanapun tidak menamatkan semua tindakan ketenteraan, kerana AS meneruskan kempen serangan dron yang ditujukan kepada al-Qaeda dan kumpulan lain.
Serangan ini antara satu punca kematian orang awam, akibat serangan di lokasi-lokasi termasuk kediaman, selain maklumat perisikan yang salah.
Tindakan pentadbiran Biden ini juga bermakna penjualan senjata beluru berpandu canggih yang digunakan dalam operasi di Yaman dihentikan. AS sebelum ini mengumumkan penjualan senjata kepada Saudi dam Emiriyah dihentikan sementara.
Biden turut dijangka menamakan wakil khasnya ke Yaman, Tim Lenderking, seorang diplomat berpengalaman, dalam satu tindakan yang dilihat menunjukkan satu pendekatan baharu menangani konflik ini.
Biden sebelum ini menilai semula keputusan pentadbiran Trump menamakan Houthi sebagai kumpulan pengganas, yang boleh memberikan implikasi kepada bantuan dan urusan dengan pentadbiran Houthi di Sanaa.
Biden mengecualikan beberapa urusan dengan Houthi daripada tindakan berdasarkan ketetapan diumumkan bekas Setiausaha Negara AS Mike Pompeo itu.
Tindakan Biden itu walau bagaimanapun hanya menggantung sementara keputusan tersebut sehingga 26 Februari ini.
Pendekatan baharu yang digambarkan ini, bukan sahaja bermakna perbezaan dasar dengan pentadbiran Trump, tetapi juga dengan Obama.
Obama memberi sokongan kepada Saudi dan Emiriyah yang memulakan serangan ke atas Houthi di Yaman, dan pada masa sama meluaskan operasi dron di negara itu.