AS “Iktiraf” Houthi, Kerajaan Yaman Melenting

Dalam usaha terbaru untuk mencapai penyelesaian politik di Yaman, rundingan peringkat awal tiba-tiba mencetuskan satu kekecohan pula.

Ini berlaku apabila wakil khas Amerika Syarikat, Tim Lenderking berkata negara itu mengiktiraf Houthi sebagai salah satu aktor penting di Yaman.

Kerajaan pimpinan Presiden Abdrabouh Mansour Hadi segera menyelar kenyataan itu, menegaskan yang kerajaan yang sah di Yaman ialah yang diiktiraf sekarang.

Pihak lain, termasuk wartawan dan ahli politik turut sama mengecam tindakan yang dilihat sebagai pengiktirafan itu.

Kerajaan Yaman dilapor menuntut penjelasan dari kedutaan AS di sini pada Jumaat lalu.

Kenyataan wakil AS itu dianggap telah memberikan satu kekuatan tambahan kepada Houthi, dengan meletakkannya setaraf dengan kerajaan diiktiraf masyarakat antarabangsa.

AS dalam satu kenyataan berkata ia mengiktiraf kerajaan Yaman, tetapi pada masa sama berurusan dengan Houthi kerana kumpulan ini menguasai satu wilayah yang besar dan populasi yang ramai.

Perkembangan ini menunjukkan yang Houthi kini terpaksa diterima sebagai salah satu kuasa berpengaruh di Yaman, kerana telah menguasai Sanaa dan kawasan barat Yaman.

Kumpulan ini juga sedang berusaha menguasai Marib untuk meningkatkan dan meluaskan lagi kuasanya di Yaman, menjadikannya mesti dilibatkan dalam sebarang rundingan dan perancangan di Yaman.

Leave a comment