Keadaan di Yaman semakin baik ekoran gencatan senjata selama lebih setahun dan rundingan terbaru yang sedang berjalan dan menunjukkan tanda positif.
Di bahagian pantai barat yang dikuasai Houthi, keadaan semakin baik apabila sekatan-sekatan mula ditamatkan.
Houthi atau kumpulan Ansarullah mempunyai hubungan baik dengan Iran, pada masa sama juga berunding dan menjalin kerjasama dengan Arab Saudi.
Riyadh berkepentingan untuk memastikan jirannya di sempadan selatan itu tidak menggugat keamanannya.
Pemulihan hubungan Saudi-Iran kini membantu keadaan menjadi lebih aman dan stabil.
Pada masa sama, dari sudut ekonomi rakyat, kemasukan pelbagai barangan keperluan dan penerimaan gaji bagi kakitangan kerajaan menyumbang kepada keadaan lebih baik.
Di sebelah selatan, keadaan jauh lebih baik di kawasan dikuasai Majlis Peralihan Selatan bersama gabungan kumpulan lain itu.
Kegiatan-kegiatan rakyat seperti sukan dan seni sudah menampakkan kerancakan, dengan kecenderungan lebih liberal mula kelihatan.
Hal ini dipandu juga oleh peranan Emiriyah Arab Bersatu yang mempunyai kepentingan untuk memastikan kawasan yang mempunyai pantai dekat laluan Laut Merah dan Tanduk Afrika itu terus kukuh di bawah pengaruhnya.
Selain dua kawasan tumpuan utama berpusat di Sanaa dan Aden, Hadramawt yang dari segi sejarahnya sebahagian Yaman Selatan menyaksikan satu keadaan yang berbeza.
Bersempadan dengan Saudi dan juga Oman di timur, kedua-dua Emiriyah dan Saudi menpunyai pengaruh masing-masing di sana.
Oman juga mempunyai pengaruh pada tahap tertentu, terutama melibatkan kawasan bersempadan yang mempunyai hubungan persamaan budaya dan bahasa.
Terbaru, pemimpin utama Majlis Kepimpinan Presiden, Rashad al-Alimi mengumumkan lebih daripada 10 projek pembangunan di Hadramawt yang menerima pembiayaan Saudi.
Projek-projek ini meliputi sektor kesihatan, pendidikan, pengangkutan, dan tenaga.
Antara infrastruktur terlibat termasuk jalan raya baru, sekolah, hospital, dan stesen janakuasa tenaga.
Ini menunjukkan kepelbagaian yang luas, sekaligus memberi gambaran pengaruh yang berpotensi diperolehi oleh Riyadh di Hadramawt.
Selain itu, turut dimasukkan dalam perancangan pembangunan melibatkan Saudi ini ialah baik pulih lintasan sempadan al-Wadea dan pemuliharaan Kota Lama Shibam, yang diiktiraf di bawah Warisan Dunia Unesco.
Persoalan yang menimbulkan kritikan melibatkan pembangunan ini ialah tajaan daripada badan pembangunan milik Arab Saudi, Saudi Development and Reconstruction Program for Yemen (SDRPY) bernilai sekitar AS$320 juta.
SDRPY berfungsi sebagai sebuah dana kemanusiaan diasaskan oleh Riyadh, bermatlamat menyediakan kemudahan perumahan dan khidmat lain di kawasan dikuasai kerajaan Majlis Kepimpinan Presiden.
Sebelum ini, Yaman dilaporkan menerima pinjaman bernilai AS$1 bilion daripada Saudi melalui SDRPY.
Kewujudan dana Arab Saudi ini bermakna Yaman yang menerima pinjamannya akan terus terikat dan terbuka untuk dipengaruhi oleh kepentingan Riyadh.