Arab Saudi Bantu Hapus Periuk Api di Yaman

IMG-20220215-WA0009

Kerajaan Arab Saudi telah menghapuskan 320,558 buah periuk api dan letupan yang didakwa ditanam atau ditinggalkan oleh pihak Houthi sejak memulakan usaha ini pada penghujung tahun lalu.

Projek ini ialah satu usaha kemanusiaan Riyadh bagi membantu meringankan kesan buruk perang kepada orang awam di Yaman.

Projek pembersihan periuk api ini dijalankan oleh King Salman Humanitarian Aid and Relief Center melalui Saudi Project for Landmine Clearance in Yemen.

Pada minggu kedua Februari ini, kumpulan ini sudah memusnahkan sebanyak 1,812 buah periuk api.

Jumlah ini termasuk 116 periuk api antipersonel, 1,398 periuk api anti kereta kebal, 224 bom tidak meletup, dan 74 alatan letupan lain.

Menurut media Saudi, ini ialah satu daripada banyak projek yang diusahakan atas inisiatif Raja Salman.

Kerja-kerja memusnahkan periuk api ini dilaksanakan di Marib, Aden, Jouf, Shabwa, Taiz, Hudaydah, Lahij, Sanaa, al-Bayda, al-Dhale and Saada.

Pembersihan periuk api di banyak kawasan ini telah membuka jalan untuk pelbagai kegiatan termasuk kemasukan kumpulan bantuan kemanusiaan, yang sering tersekat sebelum ini akibat ancaman periuk api.

Periuk api untuk membunuh manusia diharamkan oleh undang-undang antarabangsa tetapi tetap digunakan oleh banyal pihak dalam perang.

Di Yaman, ratusan orang awam termasuk kanak-kanak telah menjadi korban dan cedera hingga mengakibatkan kecacatan kekal.

Selain kematian dan kecederaan, ketakutan terhadap periuk api juga menghalang kegiatan harian termasuk kerja-kerja pertanian.

Ini mengakibatkan kemerosotan hasil pertanian, dan menyumbang kepada masalah kemiskinan dan kebuluran.

Periuk api kekal menjadi ancaman lama selepas tamat perang, kerana senjata merbahaya ini biasa ditinggalkan sahaja oleh pihak yang menanamnya.

Usaha pembersihan juga sukar kerana sebahagian besar periuk api yang ditanam tidak direkodkan, menyebabkan posisinya terlalu sukar dikenal pasti.

Leave a comment