Apa kaitan perang Gaza dengan Yaman?

Ada beberapa kaitan dan hubungan antara medan perang Gaza melawan Yahudi dengan Yaman, yang menggabungkan perang dalaman dan dari luar.

Pertama, dua kumpulan di Gaza dan Yaman, Hamas dan Ansarullah atau Houthi, menjadikan perjuangan menentang Zionis dan sekutu sebagai salah satu misi utama.

Bezanya Hamas berdepan Israel setiap hari, tetapi Houthi tidak. Bagaimanapun, perang menghadapi Houthi yang berlangsung di Yaman kini berlaku antaranya atas desakan kuat pemimpin Yahudi, Benjamin Netanyahu.

Netanyahu berucap di Kongres Amerika Syarikat pada 2015 mendakwa Sanaa sudah di bawah pengaruh Iran, merujuk kepada Houthi sebagai proksi kepada Tehran.

Yaman, seperti juga Palestin, ialah tanah umat Islam yang mempunyai kedudukan penting, dalam sejarah dan dari segi geografi.

Yaman berada di laluan masuk Laut Merah. Laut Merah ialah satu lagi laut yang mahu dipastikan keselamatannya bagi Israel, selain Mediterranean, yang Gaza berada di sebelah timur laut ini.

Di sebelah selatan Israel, laluan masuk ke pelabuhannya ialah melalui Laut Merah. Pelabuhan Eilat ialah pelabuhan Israel, terletak di Teluk Aqaba.

Di kedua-dua Yaman dan Gaza, Iran, negara musuh Israel menghadirkan senjata dron hasil buatannya, atau melalui pemindahan teknologi.

Dua dron utama Houthi bersumber daripada teknologi Iran, iaitu Qasef yang jarak penerbangannya 150km, dan Samad 3 yang lebih maju dan berjarak 1,200km.

Di Gaza, dron dinamakan Shihab digunakan oleh pasukan elit Hamas, al-Qassam untuk menyerang kawasan Yahudi.

Dron Hamas ini dikatakan mempunyai persamaan dengan Qasef yang digunakan Houthi. Senjata terbaru Hamas ini baru didedahkan, dan semakin jelas kelihatan dalam operasi menghadapi serangan Zionis kali ini.

Dari segi perkembangan teknologi ketenteraan, dua medan tempur Yaman dan Gaza berperanan sebagai medan ujian senjata untuk menghadapi Israel.

Kedua-dua medan perang ini juga menjadi sasaran hebat pihak Barat, terutama kuasa besar Amerika Syarikat dan sekutu kuatnya Israel.

Gaza menjadi berita yang perjuangan umat Islam sepenuhnya mendapat liputan berat sebelah dan negatif media Barat, manakala Yaman pula begitu lama dilupakan dan mendapat sorotan hampir semuanya berita melibatkan pengganas.

Dua negara umat Islam ini, Palestin dan Yaman, hingga kini tidak mendapat perhatian sewajarnya umat Islam, malah isu di Yaman kurang difahami dan diminati oleh umat Islam sendiri.

Palestin memang menjadi berita diminati umat Islam, dan mudah menarik minat dan kesediaan menderma, tetapi isu penting sekitarnya, seperti melibatkan kaitan dengan dasar luar negara-negara Arab sekeliling, masih tidak memadai.

Isu Palestin lebih banyak dilihat dari pandangan pertembungan warga Palestin dengan Yahudi, dan kurang diperhatikan kaitan dan kepentingan negara-negara Arab lain yang memberi kesan kepada Palestin, sekurang-kurangnya sebelum tercapai perjanjian diplomatik antara beberapa negara Arab dengan negara haram Israel tahun lalu.

Dua negara Palestin dan Yaman bukanlah negara besar, dan masih tertakluk kepada percaturan negara luar dan kuasa dunia.

Walau bagaimanapun, di dua negara inilah dapat disaksikan perjuangan umat Islam berdepan musuh dalam keadaan amat mencabar dan serba kekurangan.

Leave a comment