Angka Sebenar Yang Diabaikan Dalam Konflik Yaman

IMG-20220123-WA0007

Jumaat lalu, pasukan tentera diketuai Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu melancarkan kempen serangan udara ke atas Yaman.

Sebanyak 45 serangan dilaksanakan, dan satu serangan mengena sebuah fasiliti tahanan imigran di Saadah, mengorbankan lebih 100 orang tahanan.

Menurut Persatuan Palang Merah, mereka mengerahkan ambulans ke sana untuk membawa ramai yang cedera ke hospital.

Menurut Houthi pula, jumlah yang mati dan cedera semua sekali berjumlah 233 orang.

Insiden ini, serangan pakatan asing yang mengorbankan orang awam, bukan sesuatu yang terpinggir dan jarang berlaku, tetapi berlaku secara konsisten sejak operasi diketuai Saudi dan Emiriyah bermula pada 2015.

Masalahnya ialah perhatian dan reaksi kepada hal ini tidak sepanas reaksi isu lain di lokasi lebih popular, dan tidak juga diangkat oleh pemimpin termasuk individu berpengaruh dalam kalangan umat Islam.

Ketidakseimbangan ini tidak membantu, malah menjauhkan lagi konflik Yaman daripada perhatian yang sewajarnya.

Angka yang sebenar di Yaman menunjukkan orang awam terus menjadi korban, walaupun berita tidak sampai kepada ramai umat Islam.

Hal ini juah ketinggalan liputannya berbanding insiden serangan di Emiriyah minggu lalu yang mendapat liputan meluas.

Menurut Yemen Data Project, tahun 2021 berakhir dengan peningkatan sebanyak 244 peratus dari bulan ke bulan dalam kecederaan dan kematian orang awam akibat pengeboman.

Pada bulan Disember sahaja, 32 orang awam terkorban manakala 64 cedera.

Tahun 2021 ialah tahun yang menyaksikan pertempuran meningkat mendadak, akibat perebutan Marib, tapi pada masa sama, serangan udara pasukan diketuai Arab Saudi dan Emiriyah juga meningkat.

Pengeboman yang berlaku secara berterusan inilah yang kurang mendapat perhatian di luar Yaman termasuk dunia Islam, walaupun mengkibatkan korban dan kecederaan yang tinggi.

Ini antaranya disebabkan perkembangan yang sudah biasa, berbanding serangan sekali-sekala ke Arab Saudi dan Emiriyah.

Leave a comment