Pertempuran di medan perang Yaman masih berterusan, dan meningkat ekoran usaha kumpulan bersaing merebut wilayah Marib dan kawasan strategik lain termasuk Hudaydah.
Perang sudah pasti menyebabkan kematian, yang bermakna mayat bergelimpangan menjadi satu yang pasti di medan perang.
Di tengah-tengah cerita peperangan dan kematian ini, muncul seorang aktivis sukarela, Hadi Jumaan, yang mengambil tanggungjawab mengumpul dan menyelamatkan mayat-mayat daripada terus terbiar dan tidak diuruskan sewajarnya mengikut hukum Islam.
Beliau yang berusia 37 tahun mula menjalankan kerja ini selepas diminta bantuannya untuk mencari mayat sekumpulan lelaki yang hilang selepas terlibat dalam pertempuran di Taiz, selatan Yaman pada 2015.
Sejak itu, beliau sudah membawa pulang 1,800 mayat dari barisan hadapan pertempuran dan menyerahkan mayat-mayat tersebut kepada ahli keluarga mereka.
Hadi kini mengetuai satu pertubuhan kemanusiaan yang bekerja memastikan mayat dibawa pulang kepada keluarga masing-masing.
Beliau menubuhkan pertubuhan ini sebagai satu usaha menjadikan kerjanya diiktiraf secara rasmi, bagi memudahkan operasinya.
Pertubuhannya pernah mempunyai 75 orang aktivis, termasuk 12 wanita, tetapi jumlah yang ada kini hanya 15 orang, akibat kekurangan sumber.
Menurut Hadi, pertubuhannya tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pertubuhan hak asasi manusia dan kumpulan berkonflik di Yaman.
Kesukaran ini menambah cabaran dihadapi Hadi dan kumpulannya, yang terpaksa juga berhutang untuk menampung urusan mereka.
Urusan menjejaki mayat bukan mudah. Beliau perlu pergi beberapa kali ke lokasi terbabit, untuk bertemu kumpulan-kumpulan terlibat dalam konflik dan mendapatkan kebenaran membawa keluar mayat.
Kebenaran ketua-ketua kabilah juga diperlukan untuk memudahkan kerja mereka.
Hadi juga bertemu dan mendapatkan maklumat tepat daripada keluarga yang meminta bantuan untuk mencari mayat ahli keluarga mereka.
Pihak-pihak yang berkonflik tidak mudah memberikan kerjasama, malah ada yang pernah menahan dan memenjarakannya kerana disyaki bekerja untuk pihak musuh.
Katanya, beliau pernah ditembak dan hampir dibom di medan pertempuran.