Umat Islam menumpukan perhatian pada perkembangan di Afghanistan apabila kerajaan di Kabul melarikan diri dan seolah-olah menyerahkan sahaja ibu negara itu kepada Taliban.
Perkembangan yang bagi banyak pihak mengejutkan ini sememangnya menuntut perhatian, sebagai salah sebuah negara umat Islam yang menjadi mangsa kuasa besar dan memerlukan pembelaan dan keadilan.
Umumnya, ada banyak persamaan antara Afghanistan dan Yaman, dan juga antara Taliban dengan Houthi pada tahap tertentu.
Dua negara ini mendapat perhatian Amerika Syarikat ekoran peristiwa serangan 11 September, 2001, dan dikaitkan dengan al-Qaeda.
Dalam kempen AS melawan terorisme, dua tempat ini dianggap sumber ancaman, dan dijadikan sasaran tindakan ketenteraan sejak itu.
Osama bin Laden, tokoh al-Qaeda dari Arab Saudi pernah berada di Afghanistan, dan ini menjadi sebab Washington mensasarkan Afghanistan.
Kaitan ini dibina dan diperkukuhkan, hingga benar-benar melekat dalam minda orang ramai isu terorisme dengan Taliban.
Selepas Afghanistan, Yaman pula diikat dengan imej terorisme, melalui kehadiran al-Qaeda di sana, yang digelar al-Qaeda di Semenanjung Arab, AQAP.
AS menyokong kerajaan Yaman untuk melawan al-Qaeda ini, dan Yaman turut sama dimasukkan dalam agenda perang global AS.
Lama sebelum perang diketuai Arab Saudi di Yaman, Yaman sudah menjadi sasaran AS.
Kedua-dua Afghanistan dan Yaman hanya muncul dalam laporan media Barat dalam berita mengenai ekstremis, terorisme, atau al-Qaeda.
Kedua-dua digambarkan sebagai negara yang gagal dan akibatnya al-Qaeda dapat bertapak dan berlindung.
Berita Taliban akan pasti melibatkan sekali isu fahaman agama yang keras, dan dibina dalam kerangka permusuhan terhadap hak asasi manusia, terutama wanita.
Kembalinya Taliban ke Kabul kini memberi bahan yang banyak kepada media Barat untuk menerbitkan cerita pencabulan dan penindasan terhadap wanita.
Houthi turut dipalit dengan imej pencabul hak asasi, tetapi tidak seteruk Taliban. Walau bagaimanapun, imej kumpulan Islam ekstrem ini tetap diangkat.
Houthi diberi gambaran sebagai ancaman dan proksi Iran, dan ini cukup untuk mendorong sekutu-sekutu AS mengambil keputusan untuk menyerang Yaman.
Kedua-dua Afghanistan dan Yaman ialah negara yang menyaksikan tumpuan serangan dron di bawah Presiden Barack Obama.
Operasi dron AS meningkat mendadak sejurus Obama menjawat presiden AS.
Kedua-dua negara itu – bersama negara jiran Afghanistan, Pakistan – menjadi lokasi serangan dron terhadap mereka yang dilabel teroris, yang sebahagian besarnya al-Qaeda.
Ini mengukuhkan lagi imej dua negara umat Islam ini dengan imej keganasan dan kezaliman umat Islam yang melampau.
Hal ini diburukkan lagi oleh umat Islam sendiri yang sering mengambil terus maklumat dari media Barat, melihat Afghanistan semata-mata melalui imej Taliban yang dikemukakan media, dan Yaman dengan Houthi dengan imejnya sebagai Syiah yang ganas dan proksi Iran.
Dua negara ini lama menjadi mangsa percaturan AS dan kuasa asing, dan masalah yang kekal dihadapi ini tidak boleh dipisahkan daripada realiti sejarah ini.
Isu Afghanistan jauh lebih kompleks daripada sekadar Taliban, sama seperti Yaman yang bukan sekadar Houthi dan perang proksi.
Kedudukan dua negara ini dalam percaturan geopolitik Barat dan wacana perspektif mereka telah menjadikan dua negara Islam itu dinilai sepenuhnya melalui lensa terorisme dan peperangan.
Boleh dikatakan kuasa politik dan media Barat sentiasa meletakkan Afghanistan dan Yaman sebagai bersalah, walaupun hakikatnya tindakan Barat menjadi faktor utama yang mencorakkan keadaan di sana.