90 Peratus Rakyat Selatan Akan Sokong Referendum Merdeka – Aidarous al-Zubaidi

Pemimpin pemisah Selatan Yaman, Aidarous al-Zubaidi menunjukkan keyakinan bahawa wilayah Selatan akan merdeka jika pungutan suara diadakan.

Dalam wawancara dengan akhbar Guardian, presiden Majlis Peralihan Selatan (STC) ini berkata Presiden Amerika Syarikat Joe Biden boleh membantu menghentikan perang di Yaman dengan menyokong referendum kemerdekaan Selatan tajaan PBB di Yaman.

Menurutnya, majoriti melebihi 90 peratus akan menyokong kemerdekaan Selatan melalui referendum itu. Beliau menggesa supaya referendum itu diadakan hanya melibatkan wilayah dan penduduk Selatan.

Ini katanya seperti yang dijalankan di United Kingdom, apabila hanya warga UK mengundi untuk keluar Kesatuan Eropah.

Katanya, agenda kemerdekaan kini popular di Selatan dan referendum boleh menyaksikan sokongan melebihi 90 peratus undi.

Utara dan Selatan yang bersatu sebagai Republik Arab Yaman pada 1990 masih menyaksikan sentimen perbezaan yang kuat, dan usaha ke arah pemisahan Selatan meningkat momentumnya sejak konflik pada 2009.

Pihak STC juga tidak mempercayai pentadbiran Presiden Abdrabuh Mansour Hadi, dan pernah pada April 2020 menghalau kerajaan di Aden.

Zubaidi, seorang bekas gabenor Aden turut menggesa wakil Biden bagi hal ehwal Yaman, Tim Lenderking mengadakan rundingan dengan STC.

Usaha ini menunjukkan kesungguhan dan keyakinan pihak Selatan melobi pentadbiran Biden, pada masa sama menunjukkan keyakinan kekuatan status STC sebagai wakil Selatan yang setaraf dengan kerajaan yang diiitiraf.

Kerajaan yang melarikan diri dari Sanaa sejurus ibu negara itu ditawan Houthi pada 2014 kini dalam keadaan lemah, dengan presiden dan beberapa orang menteri dan tokoh berpengaruh menetap di Riyadh.

Pada masa sama, Marib, kawasan terakhir dikuasai kerajaan kini berdepan kemaraan Houthi. Kejayaan Houthi menawan Marib akan melemahkan terus kerajaan kerana kehilangan satu kawasan yang kaya sumber.

Keazaman pihak Selatan untuk merdeka ini menunjukkan yang ia mahu memisahkan diri daripada kekacauan yang berlaku di utara, yang kini semakin hampir dikuasai Houthi sepenuhnya.

Leave a comment