Iran kini semakin kukuh kedudukannya di Yaman, melalui hubungan baik dengan Houthi yang telah diiktiraf oleh Tehran sebagai sebuah kerajaan yang sah.
Bantuan Iran untuk Houthi pada awalnya kebanyakannya diperbesarkan, dan dikaitkan mazhab dan aliran Islam Houthi dan masyarakat Zaidiyah Yaman dengan Iran yang bermazhab Syiah Imamiyah.
Konflik lebih terbuka antara Houthi dengan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi bermula pada 2009, dan pada masa itu, dengan suasana persaingan di dunia Arab, Iran dikatakan membantu dan menjadikan Houthi sebagai proksi.
Banyak tuduhan itu berlebihan, kerana pada 2009, Yaman masih terlalu jauh dari Iran, dari segi geografi dan juga agenda dasar luar.
Walau bagaimanapun, bantuan Iran semakin banyak selari dengan perhatian dan peranan Arab Saudi dan sekutunya Emiriyah Arab Bersatu, bermula dengan tindakan Houthi menawan Sanaa dan kemudian perang diketuai Saudi dan Emiriyah untuk mengekang pengaruh Iran bermula 2015.
Berikut 5 cara dan tanda-tanda yang menjelaskan bagaimana Iran membantu menguatkan lagi Houthi, yang kini sudah kukuh menguasai Sanaa dan kawasan timur dan utara Yaman.
1. Bantuan senjata
Melalui jaringan penyeludupan yang kompleks, Iran dapat menyalurkan senjata berteknologi tinggi kepada Houthi, dan memberi bantuan kepakaran teknikal untuk mengubah suai senjata sedia ada yang dimiliki dan diperolehi dari simpanan kerajaan.
Peranan seteru Iran, Arab Saudi dan Emiriyah mendorong bantuan ini, selari dengan kedudukan Houthi yang berpotensi memberikan Iran satu kedudukan di kawasan dekat Bab al-Mandab dan Laut Merah, yang juga berdekatan Tanduk Afrika.
2. Pengukuhan jaringan
Houthi kini sebahagian jaringan aktor bukan negara yang mampu membantu agenda dasar luar Iran di seluruh dunia Arab. Pengubahsuaian senjata tadi, dilakukan melakui perkongsian kepakaran daripada Hizbullah, kumpulan disokong Iran di Lubnan.
Kerjasama ini boleh berlaku dalam banyak perkara, dan pembangunan senjata ini ialah salah satu ruang penting yang dapat dimanfaatkan kedua-dua Houthi dan Iran.
3. Ancaman kepada Saudi
Bantuan senjata dan kepakaran kepada Houthi telah menguatkan keupayaan senjata Houthi, termasuk dron yang semakin banyak digunakan untuk menyerang infrastruktur di dalam wilayah Arab Saudi.
Peranan ini semakin meningkatkan nilai Houthi kepada Iran, dan mendorong lebih banyak serangan dilakukan, sekurang-kurangnya untuk menyampaikan mesej kepada Arab Saudi.
4. Sokongan politik
Iran sudah menunjukkan sokongan jelas kepada Houthi apabila pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah Ali Khamenei menerima wakil Houthi di Tehran tidak lama selepas kumpulan itu berkuasa di Sanaa.
Houthi dikecam masyarakat antarabangsa, dan tidak diiktiraf negara sekeliling, tetapi Tehran sudah memberikan pengiktirafan.
5. Pengukuhan Houthi
Satu bentuk sokongan dan bantuan paling penting kepada Houthi ialah pembinaan keupayaan kumpulan itu di Yaman, sebagai kerajaan dan sebahagian jaringan Iran di dunia Arab, yang terdiri daripada Hizbullah di Lubnan, Hamas dan Jihad Islami di Palestin.
Iran juga membenarkan Houthi bersikap lebih bebas dan tidak tertakluk sepenuhnya kepada Iran, dan membina serta melaksana dasar luar tersendiri.
Lima perkara ini semua semakin jelas sejak Houthi menguasai Sanaa. Perkembangan melibatkan dua negara serantau pesaing Iran, Saudi dan Emiriyah, akan terus mendorong Iran untuk meneruskan sokongan kepada Houthi.