3 Cabaran Kesatuan Yaman

Pemimpin lama Yaman, Ali Abdullah Saleh semasa memegang jawatan presiden republik ini, ada digambarkan sebagai “menari di atas kepala ular.”

Gambaran ini menceritakan tentang kemahirannya mengimbangi politik Yaman yang sukar, seolah-olah menari di atas kepala ular.

Beliau bukan daripada keluarga atau kabilah paling besar, walaupun berada dalam gabungan kabilah Hashid yang merupakan kedua terbesar tetapi paling berpengaruh.

Pemimpin yang mengetuai dua Yaman yang bergabung ini tidak menunjukkan identiti lain selain identiti sebagai pemimpin Yaman yang bersatu.

Cabaran politik Yaman, mengimbangi kabilah dan kumpulan politik yang berbeza dan bertentangan, perlu diuruskan dengan bijak kerana masing-masing mempunyai pengaruh dan kawasan tersendiri.

Semasa era pertembungan Barat dengan blok Komunis, Yaman terlibat sebagai sebuah negara yang mengalami pengaruh Rusia, yang kukuh di sebelah selatan.

Yaman Selatan sebagai sebuah negara menduduki kedudukan istimewa sebagai satu-satunya negara sosialis di dunia Arab.

Masa persaingan aliran Islam yang menyaksikan Arab Saudi memperluas dan mengukuhkan pengaruh, Yaman juga tidak terkecuali, dan menjadi salah satu lokasi penting pengaruh Saudi.

Kemudian, kesan peristiwa 11 September, 2001 yang mengangkat wacana Islam moderat dan menjadikan terorisme sebagai satu isu utama dikait dengan dunia Islam, Yaman juga menjadi salah satu lokasi tumpuan.

Berkait terorisme ini, Yaman menjadi perhatian sejak permulaan dekad itu, dan kekal menjadi lokasi munculnya berita berkait al-Qaeda dan ancaman ekstremisme hingga dekad terkini.

Sepanjang pentadbiran Presiden Barack Obama di Amerika Syarikat, Yaman menjadi lokasi utama serangan dron di seluruh dunia, bersama Somalia, Pakistan dan Afghanistan, dalam “perang menentang al-Qaeda” diketuai AS.

Terkini, Yaman dijadikan tumpuan dan salah satu lokasi utama pertembungan dan persaingan Arab Saudi dengan Iran, yang fokus utamanya ialah Iran dan Syiah, yang dianggap semakin melebarkan pengaruh berbanding aliran utama, Islam Sunni.

Arab Saudi, walaupun hakikatnya tidak mewakili aliran Islam Sunni menurut makna sebenarnya, mempunyai kedudukan kepimpinan dalam dunia Islam, sebahagian besarnya disebabkan kedudukan tempat suci Makkah dan Madinah.

Hari ini, Yaman berdepan sekurang-kurangnya tiga cabaran utama penyatuan, sebagai sebuah negara yang kelihatan sudah terpecah kepada tiga; sebelah barat dan utara dikuasai Houthi, sebelah selatan di bawah Majlis Peralihan Selatan (STC), dan kerajaan yang masih diiktiraf yang kini berpengkalan di Aden tetapi semakin tidak popular.

Tiga cabaran itu melibatkan Houthi dan pengaruh Iran, politik kabilah, dan kuasa asing – terutama Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu – yang semakin mencengkam politik dalaman Yaman.

Pada masa yang sama, dinamik kabilah dan kumpulan politik yang pelbagai, antaranya Islah, kuasa tentera yang berpengaruh, terus wujud dan bersaing.

Di sebelah timur, bersempadan dengan Oman, pengaruh negara jiran itu kekal dan tidak boleh dinafikan, pada masa sama Arab Saudi juga berusaha menguatkan pengaruh di kawasan tersebut.

Houthi kini menguasai Sanaa dan boleh dikatakan menguasai pusat pentadbiran dan wilayah terbesar Yaman.

Tetapi, Houthi yang kubunya di utara mempunyai perbezaan dengan majoriti Yaman, dan di Marib yang kini semakin dikepungnya, dapat diperhatikan tentangan daripada kabilah dan penduduk tempatan.

Islah yang pernah berpengaruh ekoran kebangkitan “Arab spring” juga satu cabaran buat Yaman, kerana kedudukannya yang sukar pada masa ini, tersepit antara Houthi dan gerakan Selatan yang kedua-duanya semakin kuat.

Houthi semakin kuat dan kelihatan hampir menawan Marib, yang berada jauh daripada kedudukan utama Houthi di utara.

Penentangan kabilah dan penduduk tempatan berlaku di Marib, menunjukkan sekiranya Houthi dapat menguasai wilayah kaya dan strategik ini, masih banyak cabaran yang perlu dihadapinya.

Satu perubahan besar berbanding era Ali Abdullah Saleh ialah kestabilan yang hilang, walaupun semasa era itu, segala percaturan politik pecah dan perintah dan kuku besi digunakan untuk mengelak perpecahan.

Leave a comment