3 Cabaran Besar Houthi Kuasai Yaman

Satu berita utama dari Yaman sejak sekurang-kurangnya sebulan lalu ialah kemaraan Houthi di pusat wilayah Marib, pada masa sama menguasai bandar-bandar berdekatan.

Laporan-laporan ini juga diiringi berita kematian yang terus meningkat di kedua-dua belah pihak, hasil pertempuran sengit yang akan menentukan nasib Marib dan seluruh Yaman.

Dua pihak bertentangan, Houthi dan kerajaan yang masih diiktiraf meneruskan dan meningkatkan usaha menewaskan lawan masing-masing kerana pertempuran ini boleh menjadi penutup kepada satu episod persaingan panjang di Yaman.

Marib ialah sasaran utama yang mahu dirampas oleh Houthi, kerana penguasaan Marib akan memberikan kelebihan ekonomi dan kestabilan yang dibawa bersama faktor ekonomi itu.

Kerajaan Houthi di Sanaa sudah menguasai kawasan barat yang paling ramai penduduk, bersempadan Laut Merah, dan menguasai Sanaa bermakna pusat pentadbiran juga sudah dikawal.

Satu aset dan jentera utama; bank pusat Yaman, sudah dikawal sepenuhnya oleh Houthi dan ini sudah pun memberi kelebihan kedudukan sebagai kerajaan kepada kumpulan ini.

Walaupun pentadbiran sementara di Aden juga mempunyai satu lagi bank pusat, bank pusat dikuasai Houthi mempunyai kelebihan mewarisi sistem yang membolehkannya memegang kuasa penentu dalam hal mata wang riyal Yaman.

Houthi mendapat satu kekuatan keabsahan melalui penguasaan bank pusat, selepas menguasai pusat pentadbiran di Sanaa.

Walaupun kerajaan yang dibuang lari ke Riyadh dan pusat sementara dibina di Aden, kekuatan dan simbol terpenting dan lebih jelas ialah Sanaa.

Selepas Sanaa, cabaran terpenting Houthi ialah Marib, untuk menambah tonggak ekonomi kepada kerajaannya di Sanaa.

Semakin lama Houthi bertapak di Sanaa, semakin biasa rakyat Yaman dengannya, dan semakin mudah untuk ia diterima sebagai satu hakikat kehidupan di negara itu.

Houthi akhirnya mengambil peranan sebagai kerajaan, sebagai satu pilihan yang kurang mudarat berbanding ketiadaan kerajaan dan kekacauan.

Selepas Sanaa dan Marib, cabaran yang mungkin lebih sukar ialah penduduk di Sanaa dan Marib, malah di seluruh wilayah yang kini dikuasai Houthi.

Houthi nampaknya menerima hakikat yang ia hanya berkuasa di sebelah “Yaman Utara,” kerana sebelah selatan yang berakar sosialis dan beridentiti selatan tidak menerima Houthi sebaik penduduk di Sanaa.

Hakikatnya, Houthi boleh berkuasa sebagai kerajaan, tetapi fakta sejarahnya, ia secara tradisi ialah penduduk utara, mewarisi kepimpinan Syiah Zaidiyah yang pernah memimpin Yaman sebagai imamah.

Maka Houthi yang selama ini berkubu di Saadah tetapi kini berkuasa di Sanaa berdepan cabaran jelas menangani Yaman yang hakikatnya agak pelbagai, ditambah dengan politik kelompok dan kabilah yang tidak boleh dinafikan peranan penentunya.

Sanaa, atau politik pusat kuasa Yaman secara sejarah, sejak era negara bangsa, dikuasai nasionalis dan disaingi juga oleh kumpulan Islam modernis Islah, yang ditunjangi keluarga dan kabilah berpengaruh di samping kuasa kelompok salafi.

Yaman sebelah selatan pula dari segi sejarahnya lebih dekat dengan aliran kiri, dan hasilnya terus mempunyai hubungan baik dengan Rusia, negara yang menaungi gerakan kiri di seluruh dunia satu masa dulu.

Houthi kini sudah berkuasa di Sanaa sekitar tujuh tahun, dan Yaman sudah secara efektifnya kehilangan kuasa sentral di Sanaa sejak 2011 apabila kerajaan pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh mula runtuh.

Selepas itu Yaman tidak menyaksikan lagi kerajaan yang stabil dan menguasai seluruh Yaman yang bersatu. Houthi boleh dikatakan kerajaan yang paling kuat sejak itu.

Tujuh tahun ialah satu tempoh panjang, dan Houthi belum lagi nampak tergugat oleh mana-mana pihak sejak mula memasuki Sanaa pada hujung tahun 2014.

Leave a comment